SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Umum 'Yoodo Red Giants' Sebagai Skuad Mobile Legends: Bang Bang Bagi Menghadapi Malaysia Professional League (MPL) 2023

Jan 19, 2023 - FAS

Selangor FC Umum 'Yoodo Red Giants' Sebagai Skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Bagi Menghadapi Malaysia Professional League (MPL) 2023

Kelab Bola Sepak Selangor hari ini melakar sejarah dengan menjadi pasukan bola sepak pertama di Malaysia yang mempunyai pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) sendiri yang akan bertanding di Mobile Legends Professional League (MPL).

Majlis pengumuman yang diadakan di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam, yang disaksikan oleh Pengerusi Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Selangor FC, Aladdin Mostafa, Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MPL Malaysia, Fikri Rizal Mahruddin, serta Pengarah Urusan Protech, Datuk Ronnie Chong.

Pengumuman ini bakal menyaksikan pasukan ini berentap di kejohanan MPL Malaysia yang akan bermula awal Februari tidak lama lagi.

Dikenali sebagai 'Yoodo Red Giants', skuad MLBB SFC ini diwakili oleh Muhammad Yaacob aka ESHA OHANA (23 tahun), Mohd Hakim aka KAIZER (22 tahun), Syed Naufal Fitri aka SYF (20 tahun), Ilman Zareef aka GOJES (19 tahun), Muhammad Amir Zakwan aka ZAKQT (19 tahun) dan Muhammad Haqqulah aka SEKYS (16 tahun). Pasukan ini akan dikendalikan oleh Mohd Erwin aka RUSH (26 tahun), seorang individu yang tidak asing lagi dalam permainan mudah alih Mobile Legends ini di mana RUSH akan berfungsi sebagai pengurus pasukan.

Antara pencapaian terbaik skuad ini pada tahun 2022 adalah berjaya melayakkan diri ke MPL Malaysia S11, selain muncul juara untuk beberapa kejohanan besar seperti ESportsMY Championship, Malaysia Semi Pro League, Hari Sukan Belia Negara, GMX Cup, Nescafe SMG Cup, Piala Ketua Menteri Melaka dan Iskandar Puteri Tournament.

Menurut Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun “Kami amat berbangga untuk bekerjasama dengan Selangor FC untuk pasukan baharu, Yoodo Red Giants. Sejak ditubuhkan, Yoodo sentiasa menyokong arena e-sukan tempatan dan ini merupakan satu lagi bukti sokongan berterusan kami terhadap pembangunan industri ini. Selamat maju jaya diucapkan kepada Yoodo Red Giants dan kami berharap pasukan ini akan meraih kejayaan dan sekaligus membanggakan Malaysia.“

"Kami berbangga dan mengalu-alukan Yoodo Red Giants ke MPL Malaysia Musim 11 yang akan datang! Dengan sejarah yang gemilang di arena bola sepak, kami percaya nilai dan etika kerja mereka akan dibawa ke pasukan esport mereka. Kami teruja untuk mereka menyertai kami dan dengan penambahan ini, MPL Malaysia akan terus berkembang dan menjadi salah satu liga esport terbaik dan paling kompetitif di dunia." kata Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran & Pembangunan Perniagaan, MPL Malaysia.

Sempat ditemubual, Ketua Pegawai Operasi SFC, Aladdin Mostafa berpendapat kerjasama ini adalah lembaran baru buat SFC sebagai sebuah kelab bola sepak dan percaya kedua-dua pihak akan menerima impak positif.

"Kami di Selangor FC sangat teruja dengan pengumuman ini. Siapa jangka pasukan bola sepak boleh tubuhkan pasukan e-sukan Mobile Legends tersendiri? Kami sudah ada pasukan e-sukan untuk FIFA dan kami dengan besar hati ingin menembus pasaran Mobile Legends kerana kami tahu industri ini juga mempunyai peluang dan pengikut yang tersendiri. Kami akan memberikan sokongan yang setaraf dengan atlet-atlet kami yang lain," kata beliau.

Turut menzahirkan keterujaan beliau, Raja Muda Selangor merangkap Pengerusi Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sempat berkongsi sepatah dua kata Baginda sejurus selesai majlis menandatangani perjanjian sebentar tadi.

"Kami ingin mengucapkan selamat datang kepada pemain-pemain Mobile Legends ini sebagai keluarga baru Gergasi Merah dan selamat maju jaya buat mereka yang akan mewakili Yoodo Red Giants selain menjadi teladan atau contoh yang baik kepada rakan-rakan mereka serta para peminat," ujar Baginda.

Demi Kebanggaan!

#MKLK