The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Rauf Salifu Secara Rasmi Menyertai Selangor FC

Jan 20, 2023 - FAS

Berpengalaman dalam Liga MLS NEXT Pro di Amerika Syarikat, Rauf Salifu hari ini secara rasmi diumumkan sebagai pemain import kedua terbaru pertama Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2023.

Berasal dari Accra, Ghana, pemain ini merupakan pemain pasukan utama kelab tempat kelahirannya, Accra Lions FC sejak dari tahun 2018 sehingga 2021. Beliau berjaya mencipta pencapaian yang luar biasa pada musim 2020-2021 dengan menjaringkan 21 daripada 58 gol pasukan Accra Lions FC dalam 28 perlawanan, sekali gus membantu pasukannya layak ke Liga Perdana Ghana (liga utama) dari liga divisyen kedua negara tersebut. 

Statistik cemerlangnya tersebut telah membuka jalan kepadanya untuk beraksi di Amerika Syarikat pada musim 2022 bersama Sporting Kansas City II, pasukan pembangunan Sporting Kansas City yang beraksi di Liga MLS NEXT Pro. Menurut laman rasmi MLS NEXT Pro, pada bulan Julai, Salifu berjaya menempah namanya sebagai pemain pertama dalam sejarah liga tersebut yang menjaringkan empat gol dalam satu perlawanan.

Setelah semusim di Amerika Syarikat, Malaysia menjadi destinasi baharu pemain muda berusia 21 tahun ini. Dengan kehadirannya di laman Gergasi Merah, beliau berhasrat untuk tidak mengecewakan penyokong Selangor FC serta rakan sepasukan.

“Ini merupakan kali pertama saya berada di Asia. Cuaca di Malaysia lebih kurang di Ghana, jadi saya yakin ini membantu saya untuk cepat menyesuaikan diri di sini.

Saya lihat Selangor FC mempunyai penyokong yang sangat ramai, ia menjadi antara sebab saya memilih ke sini. Untuk itu, saya akan berusaha untuk buat mereka bangga dengan kelab ini dan tidak mengecewakan mereka,” hasrat pemain muda import baharu Selangor FC.

Salifu akan ke kem Merah Kuning serta memulakan latihan rasmi pertamanya hari ini bersama rakan-rakan sepasukan barunya.

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Rauf Salifu. Semoga beliau dapat menambah kekuatan serangan pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2023 yang akan bermula tidak lama lagi.

Salifu merupakan pemain terbaru kelima yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Ruventhiran, Khuzaimi Piee,  Faisal Halim dan Noor Al-Rawabdeh sebelum ini.

Selamat berjuang bersama Gergasi Merah, Salifu!

Terus ikuti media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim ini.

Demi Kebanggaan!