The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC dan HijabistaHub Jalin Kerjasama Untuk Musim 2023

Jan 27, 2023 - FAS

Selangor FC dan HijabistaHub Jalin Kerjasama untuk Musim 2023

Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini telah mengumumkan HijabistaHub sebagai rakan rasmi atau ‘Official Bronze Partner’ terbaru bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2023 selepas selesai majlis menandatangani dokumen perjanjian kerjasama antara kedua-dua belah pihak, awal pagi tadi.

Majlis ringkas yang berlangsung di FAS Training Centre, Shah Alam itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon, Pengarah HijabistaHub, Ahmad Syafiq Hilmi serta turut disaksikan oleh Pengasas HijabistaHub, Puan Wanie Elena.

Ditubuhkan pada 2016, HijabistaHub merupakan syarikat jenama pakaian tempatan memfokuskan pada pakaian yang sederhana moden, canggih dan kontemporari bersesuaian untuk kaum wanita dan lelaki masa kini. Mempunyai tiga butik di semenanjung Malaysia, HijabistaHub melengkapkan keperluan penting dalam almari pakaian seseorang kerana setiap koleksi diutamakan dengan keselesaan, praktikal dan serba boleh dan juga melengkapkan pakaian seisi keluarga untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Menurut Pengarah HijabistaHub, Ahmad Syafiq Hilmi berkata," Kami amat berbangga dan berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada Selangor FC untuk musim 2023 ini. Kami menantikan detik ini untuk menjadi sebagai salah satu penaja, dan berharap kerjasama ini akan memberi kesan yang positif dan baik untuk kedua-dua pihak sama ada HijabistaHub dan Selangor FC . Terima kasih yang tidak terhingga kepada Raja Muda Selangor dan seluruh bahagian Selangor FC," ujar beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut berkongsi rasa gembira dan merasakan kerjasama ini akan memberikan impak buat kedua-dua entiti.

"Kami di Selangor FC sangat teruja dan gembira di atas pengumuman ini. Selamat datang buat HijabistaHub sebuah syarikat pakaian terkemuka di Malaysia sebagai keluarga baharu Gergasi Merah. Ini membuktikan industri bola sepak tempatan dan pasukan kita khususnya masih dipandang dan dipercayai oleh syarikat-syarikat berjenama besar untuk melabur serta berkongsi kepakaran antara satu sama lain," tambah Dr. Johan.

Kerjasama ini bakal menyaksikan penjenamaan HijabistaHub akan dipamerkan dibelakang jersi Selangor FC, selain di stadium pada hari perlawanan, aset digital Selangor FC, potensi penghasilan produk bersama serta penampilan pemain Selangor FC untuk produk mereka.

Dari seluruh warga SFC, kami sekali lagi ingin mengalungkan ucapan terima kasih dan selamat datang kepada HijabistaHub serta berharap hubungan kerjasama yang terjalin ini dapat membuka lebih banyak mata syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan penaja Red Giants.

Sementara itu, skuad Selangor FC sedang giat mempersiapkan pasukan untuk ke Pulau Pinang bagi mengharungi Piala Harapan 2023 sebagai persediaan bagi kempen Liga Malaysia 2023 yang akan bermula hujung Februari tidak lama lagi.