Jan 27, 2023 - FASJersi ‘Home’ Selangor FC Bertemakan Memori Stadium Shah Alam
Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan pelancaran jersi Home musim baru 2023 hari ini. Jersi Home musim 2023 yang direka khas buat penyokong Merah Kuning ini menjadikan Stadium Shah Alam sebagai sumber inspirasi utama dalam mengabadikan segala sejarah dan memori indah sepanjang 28 tahun kewujudannya.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan tentang pemilihan Stadium Shah Alam sebagai tema jersi Home Gergasi Merah 2023 kerana ia melambangkan semangat kebersamaan dan kekuatan rakyat dan pasukan Selangor sehingga kini.
“Kebesaran dan sejarah pencapaian Kelab di stadium ini amat berharga dan sukar ditandingi. Setelah pelbagai sesi perbincangan diadakan, kerajaan negeri akhirnya memutuskan untuk membangunkan kembali Stadium Shah Alam melalui Projek Pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam. Justeru itu, kami merasakan ini adalah masa yang terbaik bagi kita mengabadikan memori stadium ini dan pada masa yang sama turut menjadikan momen ini sebagai satu titik permulaan dan lembaran baharu yang lebih gemilang buat pasukan dan negeri Selangor.”
“Oleh itu, kami mengambil inisiatif memilih Stadium Shah Alam sebagai tema utama jersi Home 2023 dengan menerapkan elemen-elemen ikonik infrastruktur stadium tersebut ke dalam jersi ini. Tabik Terakhir merupakan mesej penghormatan dan penghargaan kepada sejarah dan memori stadium tersebut sebelum bertukar wajah menjadi Kompleks Sukan Shah Alam,” menurut Dr Johan semasa temubual bersama Media Selangor FC.
Meneruskan penggunaan warna merah sebagai warna utama jersi ini dalam mengekalkan lambang keberanian, kekuatan serta semangat yang tinggi untuk pasukan, jersi ini juga menggunakan warna 'pasir' sebagai warna kedua, kerana pasir adalah salah sebuah komponen konkrit yang merupakan bahan binaan asas utama dan fasad Stadium Shah Alam.
Penggunaan sudut pandangan luar bentuk Stadium Shah Alam diletakkan sebagai simbol utama di belakang, manakala sudut pandangan hadapan stadium diterapkan di kolar dan lengan jersi ini. Label tag pada sisi kanan jersi ini pula merupakan koordinasi kedudukan stadium di mana pelbagai kenangan tercipta dan tanah tumpah perjuangan Selangor.
Selain itu, motif 'wave' yang di 'embossed' pada jersi berkenaan adalah berasaskan corak petak berisikan perkataan SELANGOR yang diambil daripada tempat duduk penyokong di Stadium Shah Alam yang cukup ikonik di kalangan penggemar kancah bola sepak Selangor dan Malaysia. Ini juga merupakan simbolik kepada lambang sorakan gemuruh penyokong yang sentiasa berada di belakang pasukan.
Dapatkan jersi home musim 2023 di Majlis Hari Jersi Selangor pada hari esok bermula jam 10 pagi di SACC Mall, Shah Alam. Terdapat beberapa aktiviti di majlis tersebut antaranya Meet & Greet bersama Penolong Jurulatih baharu Gergasi Merah, Ramon Marcote dan dua pemain asing yang telah diumumkan, Noor Al-Rawabdeh dan Rauf Salifu serta seorang pemain asing baharu yang akan diperkenalkan. Jumpa anda di sana!
Jika anda tidak berkesempatan ke majlis tersebut, anda boleh buat pembelian di laman rasmi selangorfc.com. Ayuh berikan sokongan anda untuk pasukan Gergasi Merah!
Demi kebanggaan.