SELANGOR FC
BERITA

‘Pantang Maut Sebelum Ajal’ Jadi Tema Jersi ‘Away’ Selangor FC 2023

Feb 17, 2023 - FAS

‘Pantang Maut Sebelum Ajal’ Jadi Tema Jersi ‘Away’ Selangor FC 2023.

Selangor FC dengan sukacitanya melancarkan jersi kedua untuk musim baru 2023 hari ini. Direka khas bertemakan semangat perjuangan yang tidak pernah menyerah hasil inspirasi penglibatan Pengerusi Kelab, DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj di 10 Briged (Para) yang merupakan Pasukan Aturgerak Cepat - Angkatan Tentera Malaysia serta bersulamkan warna dan logo rasmi Diraja DYTM Raja Muda Selangor.


Jersi ‘Away’ kali ini mengenakan tiga warna sebagai kesinambungan bagi tema yang telah dipilih. Dua warna di bahagian kolar iaitu warna Merah Hati diinspirasikan daripada warna 'Red Beret' sebagai simbolik kepada penglibatan DYTM Raja Muda Selangor di dalam 10 Briged (Para) Tentera Darat dan Kuning Emas melambangkan kedaulatan Institusi Diraja Selangor. Warna Hijau Hutan pula menjadi warna utama jersi ini yang diinspirasikan daripada medan perjuangan parajurit dan juga merupakan warna rasmi DYTM Raja Muda Selangor. 

Logo Bulan Bintang diletakkan di belakang jersi ini pula diinspirasikan daripada bendera rasmi DYTM Raja Muda Selangor yang berwarna Hijau, Merah dan Kuning serta simbol Bintang dan Bulan disatukan dalam satu bentuk bulat. 

Selain itu, penggunaan peribahasa ‘Pantang Maut Sebelum Ajal’ diletakkan di bahagian dalam kolar menjadi motto atau slogan jersi ‘Away’ 2023 ini. Peribahasa ini juga merupakan kata-kata semangat yang digunakan Regimen 10 Briged (Para) Tentera Darat, yang membawa maksud cukup mendalam iaitu ‘Pantang Menyerah’, sekaligus sinonim dengan semangat yang diterapkan dalam pasukan Gergasi Merah untuk musim baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan tentang pemilihan tema untuk jersi kali ini.

“DYTM Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah, merupakan figura yang kita sanjungi di atas kepimpinan baginda yang telah membawa banyak perubahan dan kemajuan buat pasukan Selangor FC. Oleh itu, pencapaian, semangat juang serta ciri keberanian seorang pemimpin dan parajurit baginda telah diambil menjadi sumber inspirasi utama tema jersi ‘Away’ musim 2023 ini,”

“Selain itu, jersi ini turut membawa mesej Pantang Menyerah sebagai satu kempen dalam usaha untuk terus memberi inspirasi kepada semua, termasuk pemain, penyokong serta orang ramai untuk berjuang mengatasi segala cabaran, tidak berputus asa dan tidak mudah menyerah kalah dalam liku-liku kehidupan,” menurut Dr Johan semasa ditemubual Media Selangor FC.

Dapatkan jersi ‘Away’ musim ini di Majlis Jom Jumpa First Team Selangor 2023 pada hari esok bermula jam 10 pagi di Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya. Pelbagai aktiviti menarik akan berlangsung di sana!

Anda juga boleh mula mendapatkan jersi ini sekarang di laman rasmi selangorfc.com. 

Demi kebanggaan!


#PantangMenyerah