The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Umum Yakult Malaysia Sebagai Rakan Strategik Baharu Untuk Musim 2023

Feb 23, 2023 - FAS

Selangor FC Umum Yakult Malaysia Sebagai Rakan Strategik Baharu Untuk Musim 2023

Kelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini dengan berbesar hati mengumumkan syarikat minuman kesihatan berkultur, Yakult Malaysia Sdn Bhd sebagai rakan strategik baharu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim 2023.

Yakult Malaysia Sdn Bhd merupakan anak syarikat milik penuh Yakult Honsha Co. Ltd, muncul buat pertama kali di Malaysia pada tahun 2004 dengan memperkenalkan produk susu kultur pertamanya Yakult Ace sebelum pelancaran susu kultur versi rendah gula, Yakult Ace Light (55% kurang gula) pada tahun 2009. Minuman ini dihasilkan segar setiap hari di kilangnya di Seremban menggunakan teknologi Jepun yang canggih dan disahkan Halal oleh JAKIM.

Kerjasama strategik ini bakal memperlihatkan penjenamaan Yakult dipamerkan di stadium pada hari perlawanan serta laman web rasmi SFC, selain penjenamaan pada beberapa aset digital di semua platform media sosial SFC.

Sempat ditemui, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Encik Hiroki Yanase berkata, "Kami amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada keluarga baru Gergasi Merah untuk musim ini. Misi kami adalah untuk membawa kesihatan dan kebahagiaan kepada rakyat di seluruh negara terutamanya di Selangor, salah satu cara kita adalah melalui sukan dan gaya hidup sihat. Kami berharap pengumuman ini akan memberikan suntikan moral buat pasukan Selangor yang bakal memulakan aksi liga tidak lama lagi," kata beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut berkongsi rasa gembira dan mengalu-alukan kehadiran Yakult Malaysia sebagai rakan strategik baharu SFC.

"Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Di SFC, kami sangat mengalu-alukan kehadiran syarikat-syarikat gergasi bertaraf antarabangsa seperti Yakult untuk menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Dengan adanya sokongan yang hebat daripada rakan strategik seperti ini, ia sudah pasti akan menjadi dorongan buat kami untuk melakukan yang terbaik dalam apa sahaja yang kami lakukan," kata beliau.

"Kami akan memberikan sepenuh komitmen kepada rakan strategik kami dalam memastikan hubungan kerjasama yang baik ini dapat dijaga, selain menunaikan kehendak dan keperluan penaja untuk kebaikan dan kemajuan bersama," tambah Dr. Johan.

Selangor FC ingin mengucapkan selamat datang dan jutaan terima kasih kepada Yakult Malaysia di atas perjanjian kerjasama ini dan semoga usaha ini dapat membuka mata lebih banyak syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah.

Dalam masa yang sama, skuad Gergasi Merah sedang giat mempersiapkan pasukan menjelang sepak mula perlawanan pembukaan Liga Super Malaysia 2023 menentang Kelantan United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Ahad ini.

Demi Kebanggaan!