Feb 24, 2023 - FASKelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC dengan berbesar hati mengumumkan penerusan tajaan dari Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) buat tahun ke-5 sejak 2019 lagi.
Penerusan kerjasama ini bakal menjadikan bas E-Mutiara sebagai pengangkutan rasmi pasukan Gergasi Merah bagi skuad utama, pasukan pelapis serta dijadikan pengangkutan buat penyokong Gergasi Merah untuk perlawanan di tempat lawan sepanjang musim ini. Kerjsama ini bakal memperlihatkan logo E-Mutiara dipamerkan di stadium pada hari perlawanan dan laman web rasmi SFC, selain penjenamaan pada beberapa aset digital di semua platform media sosial SFC.
Sempat ditemu bual, Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Tuan Haji Che Ibrahim Che Ismail atau lebih mesra dengan panggilan Pak Nik, "Kami sangat berbesar hati dapat meneruskan penajaan ini buat tahun ke-5 sejak 2019. Ini merupakan komitmen kami Konsortium E-Mutiara dalam usaha untuk membantu pasukan dari segi pengangkutan logistik dan berharap Selangor FC akan kembali berada di persada bola sepak negara," ujar beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut berkongsi rasa gembira dan terharu kerana dapat meneruskan kerjasama dengan E-Mutiara sehingga kini.
“Tuan Haji Che Ibrahim Che Ismail, Pengerusi Eksekutif, Konsortium E-Mutiara berhad telah bersetuju untuk meneruskan kerjasama dengan Selangor FC buat tahun ke-5 berturut. Bukan mudah untuk mengekalkan tajaan dan hubungan baik buat tempoh lima tahun. Justeri itu, saya amat bersyukur dan ingin berterima kasih di atas sokongan berterusan dari pihak E-Mutiara kerana membantu pasukan dalam hal pengangkutan perjalanan sepanjang liga berlangsung. Saya yakin para pemain dan pegawai pasukan juga selesa dengan kelengkapan yang disediakan oleh bas E-Mutiara," tambah Dr. Johan.
Selangor FC sekali lagi ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih buat Konsortium E-Mutiara Berhad dan berharap penerusan perjanjian kerjasama ini dapat membuka mata lebih banyak syarikat lain di Malaysia khususnya di Selangor untuk turut menjadi rakan penaja Gergasi Merah.
Dalam masa yang sama, skuad Gergasi Merah sedang giat mempersiapkan pasukan menjelang perlawanan pembukaan Liga Super Malaysia 2023 menentang Kelantan United dilaman sendiri pada 26 Februari ini.
Demi kebanggaan!