Mar 07, 2023 - FASKelab Bola Sepak Selangor, Selangor FC hari ini berbesar hati mengumumkan salah sebuah syarikat pengurusan logistik terbesar di Malaysia, Skyex Kargo Sdn Bhd sebagai Rakan Rasmi SFC terbaharu bagi musim 2023 selepas selesai majlis memeterai perjanjian kerjasama diantara kedua-dua pihak, awal pagi tadi.
Beroperasi sejak tahun 2014, Skyex Kargo Sdn Bhd merupakan antara syarikat pengurusan logistik yang paling berjaya di Malaysia di mana mereka menyediakan perkhidmatan logistik bukan sahaja melalui perkhidmatan pengangkutan darat, malah turut menjangkau jalan laut serta penerbangan udara.
Kerjasama ini bakal memperlihatkan penjenamaan Skyex Kargo akan dipamerkan di stadium pada hari perlawanan selain di laman web serta beberapa aset digital Selangor FC.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menyifatkan kerjasama antara kedua-dua entiti ini penting dan kerjasama ini dapat memberikan manfaat buat kedua-dua belah pihak.
"Kami di Selangor FC sangat gembira dengan pengumuman ini dan kami sangat teruja dengan minat yang telah ditunjukkan oleh Skyex Kargo dalam menyokong usaha yang kelab jalankan. Saya berharap lebih ramai lagi syarikat-syarikat berlainan bidang sudi untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah kami", kata Dr. Johan.
Turut sempat ditemui, Pengarah Urusan Skyex Kargo, Muhammad Bin Abdul Jalil atau lebih mesra dengan panggilan Capt Maj berkata, “Pihak kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan kelab yang penuh dengan sejarah kemenangan di Malaysia dan berharap agar hubungan kerjasama logistik ini dapat diteruskan di masa akan datang", ujar beliau.
Selangor FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada Skyex Kargo atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan dalam usaha untuk memajukan bola sepak negeri Selangor selain mengharapkan agar lebih banyak badan korporat untuk tampil untuk sama-sama membantu pasukan Merah Kuning mencapai kejayaan pada masa akan datang.
Demi Kebanggaan.