SELANGOR FC
BERITA

Skuad Selangor B20 Sentiasa Bersedia Dengan Cabaran Pasukan Lawan

Mar 26, 2023 - FAS

Piala Presiden 2023 telah rasmi memulakan saingan pada 16 Mac yang lalu. Skuad Selangor B20 telah berentap dalam Zon C bersama Sabah FC, KL City FC dan Negeri Sembilan FC.

Musim ini, Persatuan Bolasepak Malaysia telah membuat sedikit perubahan, setiap Juara dan Naib Juara Zon A, Zon B, Zon C dan Zon D akan mara ke peringkat seterusnya dalam Kumpulan Liga 1 dan lima pasukan teratas akan ke peringkat Suku Akhir. Manakala, pasukan yang lain akan beraksi dalam Kumpulan Liga 2 untuk mendapatkan kedudukan tiga teratas untuk berpeluang beraksi di Suku Akhir.

Skuad Gergasi Merah B20 telah beraksi dalam dua perlawanan sebelum liga direhatkan. Berikut adalah keputusan perlawanan:

Sabah FC (1-3) Selangor B20

55' Amir Farhan 

72' Harry Danish

90+4' Khairil Zain

Negeri Sembilan (0-1) Selangor B20

61' Harry Danish

Setakat ini, skuad Selangor B20 menduduki tempat pertama dalam kumpulan Zon C dengan enam mata penuh dan empat jaringan gol daripada dua perlawanan.

Penyerang muda, Harry Danish, 20 tahun, mahu memburu piala kejuaraan seterusnya dalam saingan Piala Presiden.

"Alhamdulillah saya sangat bersyukur masih diberi kepercayaan dan peluang untuk beraksi, kali ini bersama pasukan Selangor B20. Secara jujurnya, saya ada rasa perbezaan dari segi intensiti daripada Piala Belia sebelum ini tetapi kami sentiasa bersedia dengan apa jua sekali cabaran yang pasukan lawan berikan. Saya yakin pasukan akan berikan segalanya untuk memastikan pasukan Selangor meraih tiga mata pada setiap perlawanan," yakin Harry.

Harry juga sempat berkongsikan perasaan dan harapannya untuk musim ini, "Alhamdulillah, dua perlawanan baru-baru ini, saya dapat menjaringkan dua gol, dengan bantuan daripada rakan sepasukan. Saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan pasukan dapat memenangi dua perlawanan pertama ini. Sasaran saya adalah untuk terus menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan  dengan misi menjuarai Piala Presiden 2023 bersama rakan sepasukan," jelas salah seorang pemain tonggak skuad Selangor B19 yang menjuarai Piala Belia musim lalu. 

Piala Presiden 2023 akan berehat buat seketika dan akan bersambung semula saingan dalam minggu kedua bulan Mei. Jadual adalah seperti berikut:-

14/05/2023 - SELANGOR B20 vs KL CITY FC

17/05/2023 - SELANGOR B20 vs SABAH FC

24/05/2023 - SELANGOR B20 vs NEGERI SEMBILAN

13/06/2023 - KL CITY FC vs SELANGOR B20

Pihak Pengurusan Selangor FC percaya akan kebolehan skuad Gergasi Merah B20. Teruskan dengan aksi cemerlang anda untuk layak ke pusingan seterusnya.

Demi Kebanggaan!