Apr 17, 2023 - FASKelab Bola Sepak Selangor (“Kelab”) mengambil maklum berkenaan satu kandungan yang disebarkan di media sosial dan kemudiannya dilaporkan oleh agensi media lain, yang mengandungi dakwaan mengenai gaji seseorang individu di dalam Kelab.
Kelab ingin merekodkan bahawa kandungan ‘posting’ tersebut adalah palsu, tidak tepat dan dianggap fitnah. Kelab menafikan sekeras-kerasnya menggaji mana-mana individu dengan skala gaji yang didakwa di dalam siaran media sosial tersebut.
Kelab mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran maklumat palsu yang boleh merosakkan imej Kelab yang bertujuan untuk menimbulkan keresahan dan menggugat kestabilan Kelab, lebih-lebih lagi sambil bersembunyi di sebalik tabir tanpa nama. Pihak Kelab akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada pemfailan laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.
Kelab juga ingin memberi jaminan kepada penyokong bahawa Kelab kini berada di atas landasan yang baik dalam pelbagai aspek dan akan kekal komited terhadap nilai Selangor FC yang berteraskan integriti, ketelusan dan keadilan dalam membina sebuah kelab bola sepak yang kukuh dan berjaya, di atas mahupun di luar padang.
Kelab tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini sementara menunggu prosiding undang-undang.