May 23, 2023 - FASSkuad Selangor FC akan menentang Kedah Darul Aman esok (24 Mei) dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 9 malam.
Ini merupakan pertemuan ke-122 di antara #SELKDA. Gergasi Merah telah memenangi 58 perlawanan dan 29 seri. Selain itu, 267 jaringan gol telah terhasil daripada pertemuan dua pasukan ini.
Pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim, merasakan menentang bekas ketua jurulatih akan menjadi satu perlawanan yang sukar namun beliau tetap mahu berikan segalanya untuk meraih tiga mata buat Selangor FC.
"Sejujurnya, saya amat teruja untuk bertemu dengan Kedah DA kerana mereka bukanlah calang-calang pasukan. Saya tahu mereka banyak ramuan tersendiri dan sering bertukar-tukar taktikal.
"Saya juga agak rapat dengan coach Nafuzi (Ketua Jurulatih Kedah DA), kami dah lama bekerjasama sebelum ini, secara jujurnya saya rasa agak sukar untuk saya menghadapi perlawanan esok sebab ia bagaikan saya menentang coach Nafuzi sendiri, antara individu yang banyak membantu menaikkan nama saya dalam kancah bola sepak sebelum ini. Tetapi itulah bola sepak, sebagai pemain kita kena sentiasa profesional, saya akan berikan persembahan yang baik dan membantu pasukan untuk mendapatkan tiga mata penuh pada hari esok,” semangat Faisal.
Sebelum tamat temubual, Faisal sempat mengusik bekas Ketua Jurulatihnya dengan kata-kata, “Sekiranya saya menjaringkan gol atau pasukan Selangor menang esok, saya minta maaf terlebih dahulu dekat coach Nafuzi,” ketawa kecil Faisal.
Bagi keberadaan pemain, menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, tiada sebarang kecederaan berlaku dalam skuad Gergasi Merah buat setakat ini.
Pihak pengurusan Selangor FC sentiasa bersama pasukan dalam apa jua keadaan dan percaya pemain-pemain akan berikan sepenuhnya pada hari esok. Terus beraksi dengan cemerlang, Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!