SELANGOR FC
BERITA

Yohandry Orozco Berazam Untuk Terus Bekerja Keras

Jun 18, 2023 - FAS

Nama yang semakin diratib oleh penyokong Selangor FC, Yohandry Orozco, semakin mendapat rentak untuk beraksi dengan cemerlang bersama rakan sepasukan dalam saingan kancah bola sepak Malaysia. 

Pemain tengah kelahiran Venezuela ini telah  mencatat rekod gol pertama beliau untuk Selangor FC dalam saingan Piala FA pusingan Suku Akhir menentang Negeri Sembilan FC, sekali gus memastikan pasukan mara ke saingan Separuh Akhir. Setakat ini beliau berjaya menjaringkan tiga gol (satu Liga Super & dua Piala FA) serta lima bantuan gol (empat Liga Super & satu Piala FA).

Menurut Yohandry Orozco, beliau mahu mencapai kejayaan bersama rakan sepasukan selangkah demi selangkah.

“Sudah semestinya saya  gembira dengan prestasi diri dan pasukan setakat ini tetapi saya akan pastikan untuk berikan lebih baik buat  Selangor FC sehingga tamat musim ini.

“Matlamat saya bersama skuad Merah Kuning adalah untuk mencapai segalanya bersama. Kami mensasarkan untuk memenangi perlawanan demi perlawanan dengan selangkah demi selangkah.

“Bagi saya keharmonian  pasukan kini lebih baik berbanding pada awal musim. Kami (pemain) akan terus bekerja keras untuk menjadi kuat bersama-sama  sepanjang kejohanan berlangsung,” semangat pemegang jersi nombor 16 Gergasi Merah.

Pihak pengurusan yakin Yohandry Orozco akan terus mempamerkan kelebihan yang beliau miliki bagi membantu skuad Selangor FC berada di tahap terbaik dalam kancah Bola Sepak Malaysia musim 2023. Ayuh Orozco!

Demi Kebanggaan!