SELANGOR FC
BERITA

Safuwan Baharudin #IsRed

Jul 13, 2023 - FAS

Selangor FC secara rasmi mengumumkan kedatangan semula pemain kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin hari ini sebagai pemain import terbaru Gergasi Merah bagi musim 2023.

Kelebihan serta karisma yang dimiliki bekas pemain pertahanan kanan Melbourne City ini dilihat mampu menambah kekuatan pasukan Selangor FC dalam beberapa posisi terutamanya di bahagian tengah dan pertahanan.

Tiga musim bersama Selangor FC sebelum ini, Safuwan berjaya beraksi dalam 37 perlawanan sebagai tonggak pasukan selama beliau di kem Gergasi Merah. Walau bagaimanapun, kecederaan beliau enam bulan terakhir musim lalu memaksa beliau untuk membuat keputusan keluar daripada pasukan demi kebaikan diri dan juga kelab.

Menurut Safuwan, beliau gembira menerima tawaran kembali ke Kelab ini dan berharap penyokong akan menerima kepulangannya.

“Saya ada menerima beberapa tawaran dari Liga Thailand tetapi setelah berhubung dengan kedua ibu bapa saya, mereka menyarankan saya untuk terus berada di Liga Malaysia untuk baki enam bulan terakhir musim ini, iaitu bersama Selangor FC,”

“Dalam masa yang sama, antara yang menarik minat saya untuk kesini adalah saya belum pernah bermain di bawah jagaan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe. Selain itu, hubungan dengan rakan sepasukan Gergasi Merah akan membantu untuk saya menjalankan tanggungjawab di sini terutamanya dari segi komunikasi kerana separuh daripada pasukan merupakan rakan sepasukan sebelum ini,”

“Saya juga berharap keserasian bersama pemain-pemain import dan beberapa pemain lokal baharu pasukan akan terjalin,” jelas beliau.

Bila ditanyakan tentang posisi pilihan, beliau jelaskan, “..sebenarnya saya tidak kisah untuk beraksi di mana-mana posisi. Bagi saya, jika pasukan mahu saya beraksi di posisi tersebut bagi membantu memperkuatkan lagi pasukan, saya akan berikan yang terbaik. Sebelum ini saya pernah bermain di pelbagai posisi, pertahanan kanan, pertahanan tengah, pemain tengah mahupun penyerang, jadi saya lihat ia bukanlah satu masalah besar jika saya ditugaskan untuk bermain di posisi yang ditetapkan,”

Sebelum menamatkan temubual, Safuwan sempat berkongsikan harapan beliau, “Saya gembira dapat kembali ke sini selepas enam bulan meninggalkan pasukan. Saya berharap penyokong dapat menerima kepulangan saya. Bagi saya, pasukan bola sepak tanpa penyokong tidak akan berjaya. Semoga kita dapat bekerjasama untuk Selangor FC,”

Pihak pengurusan Selangor FC mengucapkan selamat kembali ke kem Gergasi Merah kepada kepada Safuwan Baharudin. Semoga Selangor dapat meraih kejayaan demi kejayaan dengan kehadiran anda.

Demi Kebanggaan!