SELANGOR FC
BERITA

Ayron Del Valle | Penyerang Colombia Selangor FC Berhasrat Mengecapi Kejayaan di Liga Super 2023

Oct 06, 2023 - FAS

Penyerang import dari Kolombia Gergasi Merah, Ayron Del Valle telah menjaringkan 21 daripada 64 gol Selangor FC dalam saingan Liga Super 2023 setakat ini.

Memakai jersi nombor 70, pemain ini memulakan karier beliau dalam kancah bola sepak Malaysia dengan 10 jaringan gol pusingan pertama dan 11 gol dalam pusingan kedua saingan Liga Super Malaysia. Beliau juga memegang rekod pemain yang menjaringkan dua kali jaringan hatrik dalam satu musim iaitu semasa menentang Kelantan United FC dan Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV.

Mengikut data penjaring terbanyak Liga Super setakat ini, termasuk dua gol beliau dalam saingan Piala Malaysia, 83% gol beliau daripada jaringan dalam kotak dan 17% selebihnya jaringan luar kotak. Dalam 23 jaringan gol, 87% gol terhasil daripada kaki kanannya. Selain itu, 50% jaringan gol beliau adalah daripada ‘ball possession’. 

Menurut Ayron Del Valle, yakin gol beliau terhasil dengan bantuan rakan sepasukan dan beliau mahu terus menambah jumlah jaringannya dalam baki perlawanan saingan Liga Super 2023.

“Saya sangat gembira dapat mencapai rekod seperti ini dalam tahun pertama saya bersama Selangor FC. Saya bekerja keras untuk mencapai objektif saya bermain di sini. Saya berusaha untuk memahami rakan sepasukan dan Liga Malaysia denna cara saya tersendiri.Tidak dinafikan saya mengambil masa untuk ke tahap ini namun segalanya membuahkan hasil. Saya juga dibantu dengan kerjasama yang baik daripada rakan sepasukan untuk menjaringkan gol-gol tersebut. Saya cuba faham kemampuan yang mereka miliki dan dapatkan kefahaman cara bermain kemudian daripada itu saya gunakan peluang untuk menjaringkan gol,”

“Berbaki tiga perlawanan, saya dan rakan sepasukan akan terus berusaha menyiapkan diri secara fizikal dan mental bagi mendapatkan mata penuh untuk Selangor FC. Saya yakin kerjasama daripada rakan sepasukan akan membantu kelab mendapat keputusan yang terbaik. Secara individual pula, saya akan cuba menyumbang lebih banyak bagi memastikan pasukan mencapai sasaran musim ini. Tidak lupa juga sokongan yang diberikan oleh penyokong Gergasi Merah yang telah membantu kami untuk beraksi dengan lebih semangat di atas padang, terima kasih saya ucapkan kerana sentiasa ada bersama kami,” kata Ayron.

Pihak pengurusan Selangor FC berbangga dengan pencapaian Ayron Del Valle dan berharap beliau akan terus menyumbang serta bantu pasukan untuk mendapat keputusan terbaik dalam baki perlawanan Liga Super 2023.

Demi Kebanggaan.