SELANGOR FC
BERITA

#BreakTheGlassCeilling | Pasukan Wanita Selangor FC Bersedia untuk Tahun 2024

Jan 18, 2024 - FAS

Skuad Wanita Selangor FC secara rasmi telah memulakan pramusim mereka pada 8 Januari baru-baru ini sebaik sahaja selesai sesi pemilihan pada 29 Disember yang lalu.

Tahun ketiga penubuhan skuad Wanita Selangor FC, dilihat semakin menuju sasaran untuk menjadikan pasukan ke arah profesional, yang telah dirancang sejak dari tahun 2022. Tahun pertama skuad ini lebih tertumpu untuk memperkenalkan dan memperkasakan asas pembangunan di mana peraturan-peraturan diperkenalkan, sesi latihan dijalankan secara konsisten dengan bantuan barisan jurulatih yang berkaliber serta penggunaan luas fasiliti yang disediakan di SFC Training Centre bagi mencapai potensi sebenar mereka.

Dalam tahun 2023, bagi mencapai sasaran membawa skuad Wanita Selangor FC ke tahap profesional, penekanan kepada ekstensif kontrak pemain dan struktur gaji bertingkat mula diketengahkan. Selain itu, penjenamaan dan pemasaran juga dilaksanakan bagi membawa masuk penaja-penaja rasmi seperti TikTok dan Extra Joss dalam usaha menaikan nama pasukan. Selain itu, pendekatan latihan moden dan perancangan berasaskan sains sukan juga telah diterapkan sama seperti pasukan-pasukan lain di kem Gergasi Merah.

Musim ini, pihak pengurusan menekankan beberapa perkara dalam usaha menaik taraf kualiti pemain-pemain wanita Selangor FC serta liga wanita Malaysia. Selaras dengan kelebihan serta keistimewaan yang mereka terima bersama kelab ini, barisan kejurulatihan telah mensasarkan sekurang-kurangnya tiga pemain untuk mendapat panggilan pasukan senior wanita kebangsaan yang pertama seperti Dian Aqilah yang hanya berusia 16 tahun, musim lalu. Selangor FC juga berhasrat untuk terus melahirkan pemain yang berpotensi tinggi di pasaran antarabangsa. Antara inisiatif untuk mencapai dua sasaran tersebut adalah melalui kerjasama bersama Selangor FA untuk bertanding dalam kejohanan FAS Women's Super League 2024 yang akan bermula pada 3 Februari ini bagi menambah jumlah perlawanan pemain-pemain skuad Wanita Selangor FC. 

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon memandang serius akan perkembangan skuad Wanita Gergasi Merah berkata, "Program jangka masa panjang bagi skuad Wanita Selangor FC ini jelas dijalankan secara bertingkat. Ini merupakan tahun ketiga daripada lima tahun program pembangunan skuad Wanita Gergasi Merah dijalankan. Dari musim ke musim, pihak pengurusan telah memperkenalkan struktur baharu kepada pasukan wanita seperti peraturan yang digunakan, jadual latihan harian, penggunaan fasiliti secara luas, program khas individu dan pasukan serta struktur gaji bertingkat dilaksanakan. Pemain-pemain wanita secara keseluruhan telah mendapat layanan serta kelebihan sama seperti skuad utama Gergasi Merah dengan cara berperingkat. Saya berharap dengan cara ini, kita dapat membantu pasukan serta Liga Wanita Malaysia untuk lebih berkembang dengan pesat seperti di luar negara.

Berikut adalah senarai penuh pemain skuad Wanita Selangor FC 2024:-

PENJAGA GOL: Juliana Azwa (30), Noorasyiemah Rashid (30), Affrina Natasha (22). 

PERTAHANAN: Hamira Yusma (32), Hannani Adriana (29), Nornatasha Hassan (23), Eva Olivianie (23), Siti Nurfaizah (22), Alia Nadhirah (15).

PEMAIN TENGAH: Syafiqa Irisya (26), Ainsyah Murad (21), Aina Humaira (16), Qhaleesa Maisara (15), Aleeya Nazirah (15), Amesha Danya (14), Dania Batrisya (14).

PENYERANG: Hanis Azizan (32), Nurin Manan (21).

Nota: *(xx) umur pada tahun 2024

 

Barisan pegawai skuad Wanita Selangor FC 2024:-

Pengurus Pasukan: Suzana Zakaria

Ketua Jurulatih: Osmera Omaro

Penolong Ketua Jurulatih: Felicia Adele

Penolong Jurulatih: Hasrul Rahman

Jurulatih Penjaga Gol: Aizat Roslim

Doktor Pasukan: Pranava Singham

Pegawai Media: Faris Luqman

Ahli Fisioterapi: Errina Ayunni

Ahli Nutrisi: Wan Hazirah

Untuk pengetahuan, laman sosial Selangor FC Women telah secara rasmi dibuka khas untuk para penyokong mendapatkan berita terkini berkenaan pasukan dengan lebih mudah bagi memeriahkan suasana skuad Wanita Gergasi Merah. Ikuti laman sosial mereka di: Facebook, Instagram, TikTok, dan X.

Selangor FC akan sentiasa melihat perkembangan serta membawa perubahan yang seharusnya untuk menaik taraf skuad Wanita Gergasi Merah. Semoga usaha ini dapat dimanfaatkan dengan baik oleh pasukan. Semoga tahun 2024 menjadi musim yang lebih cemerlang buat skuad Wanita Selangor FC.

Demi Kebanggaan!