Feb 04, 2024 - FASAlvin Fortes atau lebih dikenali sebagai Fortes hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain import ketiga terbaru Gergasi Merah untuk mengharungi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.
Bakat Fortes telah dihidu oleh seorang individu yang membantu beliau menyertai program Nike Football: The Chance pada tahun 2013. Dalam program tersebut, 250 pemain bersaing untuk menjadi dua pemain bertuah beraksi di England bawah tajaan jenama terkemuka itu. Patrick Kluivert, pemain bola legenda Belanda yang juga merupakan panel ketika itu telah memilih Fortes sebagai salah seorang pemenang program tersebut. Menurut Fortes, karier bola sepaknya mula meningkat naik selepas lima bulan berkelana di England bersama akademi tersebut.
Sejak dari usia muda, Fortes telah melebarkan sayap ke beberapa buah negara seperti Finland, Turki, Greece dan Republik Czech untuk mengembangkan karier bola sepaknya. Semasa usianya 20 tahun, Fortes berjaya membuat debut profesionalnya bersama kelab di negara kelahirannya, Belanda, RKC Waalwijk, menentang FC Den Bosch dalam kejohanan Eerste Divisie.
Beliau pernah bersama FC Dila Gori yang bersaing di liga Georgia selama dua musim pada 2018 dan 2019. Pemain sayap ini telah menggunakan peluang yang diberikan untuk membantu pasukan tersebut dengan menjaringkan 16 jaringan gol serta mencetak 11 ‘assist’ dalam 51 penampilan sekaligus menjadikan pencapaian terbaiknya dalam kancah bola sepak.
Pada tahun 2021, Fortes telah berkelana di Uzbekistan beraksi dalam saingan O’zbekiston Superligasi, Uzbekistan Cup termasuklah AFC Champions League (ACL) bersama FC AGMK. Pemain sayap ini berjaya menambah rekod peribadinya dengan bermain untuk 25 perlawanan dan menjaringkan 4 gol bagi musim tersebut.
Mempunyai kelajuan yang baik, pemain ini telah mempunyai pengalaman beraksi di liga Thailand selama dua musim bersama Nongbua FC dan Ratchaburi FC pada tahun 2022 hingga 2023. Secara keseluruhan, Fortes telah membuat 38 penampilan, 13 bersama Nongbua FC dan 22 bersama Ratchaburi FC serta 11 jaringan gol.
Malaysia menjadi negara ke-10 dalam perjalanan bola sepaknya. Fortes merasakan Selangor FC merupakan kelab yang terbaik untuk beliau teruskan karier profesionalnya.
"Saya tahu akan kewujudan kelab Selangor FC dan sentiasa mengikuti perkembangan mereka. Bagi saya, ini adalah kelab besar yang mempunyai kemudahan untuk berlatih yang berkualiti dan mereka juga bermain dengan baik dalam liga musim lalu. Jadi, saya rasa ini kelab yang terbaik untuk saya teruskan kerjaya bola sepak," ujar Fortes dalam gembira.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe, Fortes akan membantu di bahagian sayap kiri dan kanan pasukan.
“Musim lalu, saya lihat antara kelemahan yang kita hadapi adalah ketiadaan seorang pemain sayap tulen yang mampu menambah kekuatan pasukan di bahagian serangan. Dengan adanya Fortes, saya nampak kita mampu selesaikan masalah di bahagian kiri atau kanan serangan terutamanya semasa bersaing di pentas Asia nanti. Beliau juga pernah beraksi di liga Thailand, jadi saya harap Fortes tidak akan ambil masa yang lama untuk menyesuaikan dirinya bermain di sini,” harapan Tan Cheng Hoe.
Sebelum tamat perbualan, Fortes menyatakan, “Saya tidak sabar untuk beraksi bersama Selangor FC dan bertemu penyokong Gergasi Merah. Jumpa anda tidak lama lagi.”
Selangor FC berharap Alvin Fortes dapat menambah kekuatan di bahagian sayap pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL 2 2024. Selamat datang, Fortes!
Alvin Fortes merupakan pemain terbaru ketiga yang diperkenalkan untuk membarisi skuad utama selepas Selangor FC memperkenalkan pemain pertahanan, Umarbek Eshmurodov dan penyerang baharu, Ronnie Fernández semalam.
Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2024/2025.
Demi Kebanggaan!