Feb 05, 2024 - FASSelangor FC bakal menerima suntikan tenaga muda baharu selepas penjaga gawang, Azim Al Amin serta empat pemain Selangor B23 telah diserap ke skuad utama bagi persiapan menjelang saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025 kelak.
Azim Al Amin atau lebih mesra dengan panggilan Azim memulakan karier profesional beliau bersama pasukan Kuala Lumpur City FC sejak musim 2021 hingga 2023. Penjaga gol berusia 23 tahun ini berjaya menembus masuk skuad utama KL City FC dengan membuat enam penampilan pada musim lalu. Selain itu, Azim juga merupakan antara individu yang telah membantu skuad Ibu Kota itu mara ke Perlawanan Akhir Piala FA 2023 dengan aksi cemerlang beliau pada pusingan Separuh Akhir saingan tersebut.
Memiliki kecekapan dalam menjaga gawang, nama pemain ini telah menjadi bualan ramai setelah mempamerkan aksi cemerlang buat skuad negara B23 ketika menentang China B23 dalam perlawanan persahabatan pada bulan Disember yang lalu. Azim juga dijangka membarisi skuad Harimau Muda sebagai penjaga gawang utama untuk kejohanan Piala Asia B23 yang akan berlangsung di Doha, Qatar, tidak lama lagi.
Selain Azim, empat muka baharu yang akan bersama skuad utama Selangor FC adalah kapten Selangor B23 musim lalu, Faiz Amer (21 tahun), pemain tengah, Haiqal Haqeemi (21 tahun), pemain pertahanan, Aiman Hakimi (19 tahun) dan pemain termuda skuad negara B23 tahun, Muhammad Abu Khalil (19 tahun). Keempat-empat mereka merupakan pemain tonggak skuad Gergasi Merah B23 yang pernah dipanggil untuk menyertai skuad senior untuk dua siri perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Persiraja dan PSIS Semarang di Indonesia pada bulan Ogos 2023.
Menurut Azim Al Amin beliau tidak sabar untuk meneruskan perjalanan dalam kancah bola sepak bersama Selangor FC, “Saya bersyukur kerana ditawarkan peluang untuk bersama kelab Gergasi Merah. Saya yakin banyak yang saya boleh belajar daripada pemain-pemain lain terutamanya penjaga gol pasukan seperti Yan (Khairulazhan Khalid) dan Sam (Samuel Somerville). Saya juga berharap saingan tinggi antara kami akan mematangkan lagi corak permainan saya dari masa ke semasa,” harapan Azim.
Dalam masa yang sama, Faiz Amer, kapten skuad Selangor B23 juga menzahirkan rasa gembira beliau, “Alhamdulillah, kali ini rezeki saya, Haiqal Haqeemi, Muhammad dan Aiman Hakimi dinaikan pangkat ke squad senior Gergasi Merah. Ini semestinya impian setiap pemain muda untuk beraksi di pentas yang lebih tinggi bersama pasukan senior. Saya mahu jadikan peluang ini sebagai satu cabaran untuk saya beraksi lebih baik pada musim ini.”
Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Azim Al Amin dan kami berharap agar pemain-pemain muda ini dapat memanfaatkan peluang yang diberikan di kem Gergasi Merah untuk musim 2024/2025.
PROFIL PEMAIN #PromotedRed
NAMA: FAIZ AMER
TARIKH LAHIR: 15 JAN 2003 (21 TAHUN)
POSISI: PERTAHANAN (CB/RB)
NAMA: HAIQAL HAQEEMI
TARIKH LAHIR: 4 NOV 2003 (21 TAHUN)
POSISI: PEMAIN TENGAH (CM)
NAMA: MUHAMMAD ABU KHALIL
TARIKH LAHIR: 11 APR 2005 (19 TAHUN)
POSISI: PEMAIN TENGAH (CDM)
NAMA: AIMAN HAKIMI
TARIKH LAHIR: 28 JAN 2005 (19 TAHUN)
POSISI: PERTAHANAN (CB/RB)
Demi Kebanggaan!