SELANGOR FC
BERITA

#GergasiMerah Ke Bangkok Untuk Pramusim 2024

Mar 02, 2024 - FAS

Skuad Selangor FC telah berangkat ke Bangkok, Thailand bagi menjalani sesi pramusim sebagai persiapan pasukan menjelang saingan liga yang bakal bermula pada bulan Mei nanti.

Antara objektif utama pramusim ini dijalankan adalah bagi mengadakan perlawanan persahabatan bersama dua Kelab di Thailand untuk menguji kemampuan pasukan setakat ini. Selain itu, aktiviti-aktiviti ‘team building’ juga dijalankan bagi memupuk semangat kerjasama dan merapatkan lagi hubungan dikalangan pemain, pegawai serta barisan jurulatih sebelum liga bermula.

Safuwan Baharudin, pemain tengah dan pertahanan Selangor FC berharap persiapan pramusim ini akan membantu pasukan untuk melihat dengan lebih jelas perubahan serta penambahbaikan yang perlu dilakukan bagi memantapkan lagi pasukan untuk musim ini.

“Saya yakin semua pemain tidak sabar untuk sesi pramusim di Bangkok. Ini akan menjadi ujian pertama untuk kami kerana pasukan akan menentang dua kelab Thailand yang sedang aktif beraksi di liga mereka sekarang. Jadi, tahap kecergasan mereka sudah tentu akan membantu kami untuk mengukur dari segi ketahanan, kebolehan teknikal dan taktikal daripada perlawanan persahabatan tersebut. Sekaligus dapat membantu barisan jurulatih untuk membuat keputusan dalam merancang sistem yang akan digunakan pasukan. 

“Selain itu, saya juga merasakan pramusim ini merupakan masa yang terbaik untuk pasukan mengenali serta memahami antara satu sama lain dengan lebih baik untuk di bawa semasa Liga Malaysia bermula nanti,” jangkaan Safuwan daripada pramusim di Bangkok.

Tahun kelima bersama kelab Gergasi Merah, juga merupakan kelab paling lama beliau berkhidmat, Safuwan berhasrat, “Secara peribadi, saya rasa terhutang budi dengan Selangor FC. Oleh itu, saya mahu membantu kelab layak ke Perlawanan Akhir dan mendakap trofi kemenangan sebelum saya  mimikirkan tentang perjalanan yang seterusnya,”

“Saya berharap tahun ini saya dapat beraksi tanpa sebarang kecederaan. Jika saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan kondisi badan saya berada di tahap yang baik, saya pasti berikan 100 peratus dalam padang dengan harapan dapat beraksi dalam 80 peratus perlawanan untuk musim 2024/2025.” Impian Safuwan sebelum menamatkan perbualan bersama pihak Media Selangor FC.

Pihak pengurusan mendoakan rancangan pramusim di Bangkok, Thailand akan berjalan dengan lancar. Semoga kesemua pemain dan barisan kejurulatihan dapat menggunakan masa ini untuk menyiapkan pasukan dengan lebih rapi sebelum liga bermula. Teruskan perjuangan, Red Giants!

Demi Kebanggaan!