SELANGOR FC
BERITA

Latihan Di Bulan Ramadan Akan Berakhir Tidak Lama Lagi, Persiapan Untuk Fasa Seterusnya Bermula

Apr 06, 2024 - FAS

Skuad Selangor FC terus giat berlatih di Pusat Latihan SFC sepanjang bulan Ramadan ini. 

Dua waktu sesi latihan telah digunakan di bulan ini iaitu pada jam 6 petang dan 10 malam, mengikut jadual yang ditetapkan oleh barisan jurulatih. Dalam masa yang sama, tahap ‘intensity’ sesi latihan masih sama seperti sebelum ini bagi membantu pemain bersedia menjelang perlawanan Liga Malaysia bermula. 

Barisan jurulatih yang diketuai oleh Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil telah bekerja keras menyusun jadual dalam bulan Ramadan ini bagi mengekalkan tahap kecergasan pasukan sama seperti sebelum ini. Jurulatih jabatan lain seperti Kecergasan, Arulchelvan Illengo, Penjaga Gawang, Faozi Mukhlas dan kehadiran wajah baharu, Conor Nestor, Penolong Ketua Jurulatih telah menjalankan tugas masing-masing dalam menjayakan perancangan di bulan ramadan ini. 

Selain itu, pihak pengurusan juga telah menyediakan juadah berbuka dan ‘moreh’ mengikut hari-hari yang dipilih oleh pasukan untuk makan bersama-sama bagi menguatkan lagi ukhuwah antara pemain dengan bantuan dan pemantauan unit Pemakanan Sukan Gergasi Merah.

Pasukan akan diberi cuti bagi menyambut Hari Raya bersama keluarga tercinta dan kembali ke kem Gergasi Merah dalam minggu yang sama untuk meneruskan sesi latihan.

Pihak Pengurusan gembira dengan komitmen yang diberikan oleh pasukan. Semoga dengan usaha dan kerja keras ini akan menghadirkan kejayaan untuk pasukan sesama Liga Malaysia berlangsung nanti.

Selangor FC ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat islam terutamanya penyokong Gergasi Merah. Semoga selamat sampai ke destinasi masing-masing.

Demi Kebanggaan.