May 03, 2024 - FASReziq Banihani hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain import terbaru Gergasi Merah untuk mengharungi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.
Pemain kelahiran tahun 2002 ini merupakan pemain kebangsaan Jordan yang telah beraksi bersama bawah 16 tahun, bawah 17 tahun, bawah 19 tahun dan baru-baru ini bersama bawah 23 tahun di Piala Asia 2024. Dalam masa yang sama, beliau juga amat dikenali di kalangan pemain seusianya sebagai kapten skuad muda negara.
Tidak kurang hebatnya pencapaian beliau bersama kelab negara kelahirannya, Reziq telah beraksi di pentas Liga Juara-Juara AFC 2023/2024 Kumpulan B bersama Al-Faisaly SC sebanyak enam perlawanan dan telah membuat dua jaringan gol serta dua bantuan gol sepanjang kejohanan berlangsung. Selain itu, dua jaringan gol Reziq dalam kejohanan JFA Shield 2023 telah membantu Al-Faisaly SC menjulang trofi untuk kali ke-9 yang juga merupakan trofi pertamanya bersama kelab tersebut.
Antara pencapaian lain beliau adalah Reziq telah dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak liga bawah 17 dan 19 tahun di Jordan pada tahun 2017-2018. Selain itu, beliau juga merupakan Pemain Terbaik serta menjuarai kejohanan Donsti Cup di Sepanyol bersama Jordan Knights di usia remajanya.
Dengan kehadirannya di laman Gergasi Merah, beliau berhasrat untuk menambah kekuatan pasukan.
“Ini merupakan kali pertama saya berada di Malaysia. Walaupun saya masih berusia muda, saya berharap pengalaman yang saya miliki bersama pasukan sebelum dapat menambah kekuatan pasukan bagi menghadapi Liga Super 2023/24 dan di pentas ACL 2 2024. Oleh itu, saya akan berikan segalanya untuk tidak mengecewakan mereka,” Harapan Reziq, pemain muda import baharu Selangor FC.
Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Reziq Banihani. Semoga beliau dapat menambah kekuatan barisan penyerang Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL 2 2024. Selamat datang, Reziq!
Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2024/2025.
Demi Kebanggaan!