SELANGOR FC
BERITA

Yoodo SRG Mendominasi ‘Regular Season’

May 14, 2024 - FAS

Yoodo Selangor Red Giants (YSRG) menamatkan aksi liga ‘regular season’ MPL Malaysia musim ke-13 dengan satu rekod ‘Invincibles’ menjadikan YSRG pasukan pertama yang berjaya mencipta rekod kemenangan 2-0 bagi kesemua 9 perlawanan tanpa kalah. Pencapaian ini juga mengatasi rekod ‘regular season’ pada musim ke-6 yang lalu.

Ini menjadi musim kebanggaan bagi penyokong setia Merah Kuning apabila pasukan YSRG berjaya mempamerkan corak permainan yang amat mengagumkan. Bermula dari perlawanan pembukaan sehingga perlawanan penutup, saingan ‘regular season’ yang berakir pada hari Ahad lalu. Untuk statistik, pasukan YSRG telah mencatatkan jumlah ‘kill’ tertinggi sebanyak 269 kali dan jumlah kematian terendah iaitu sebanyak 92 kali. Ini jelas menunjukkan pasukan Gergasi Merah telah mendominasi setiap perlawanan walaupun hanya bermain dengan dua pusingan sahaja dalam setiap perlawanan.

 Secara keseluruhannya, pasukan YSRG telah mengumpul 27 mata dari 9 perlawanan, dengan perbezaan 7 mata dari pasukan di tangga kedua liga. Kedudukan ini juga sekaligus telah melayakkan pasukan Gergasi Merah untuk menempah kedudukan ‘Upper Bracket Semi-Final’ di playoffs. Apabila melihat kepada pencapaian secara individu, barisan pemain utama berada dalam kedudukan 10 terbaik dalam carta bagi Purata KDA tertinggi yang mana didominasi oleh Innocent dengan Purata KDA 15.8 selama 18 perlawanan.  

Barisan kejurulatihan pasukan juga turut meluahkan rasa bangga dengan pencapaian pasukan buat musim ini. 

“Sebelum liga bermula, kami hanya mensasarkan untuk mendapatkan kemenangan sebanyak yang mungkin kerana beberapa perubahan telah berlaku dalam pasukan. Namun, dengan usaha keras setiap individu dalam pasukan, kami berjaya mencipta rekod terbaik liga dengan kemenangan ‘invincible’. Kejayaan ini menjadi satu bonus terbaik untuk kami dan saya sangat berbangga dengan mereka (pemain),” ujar Arcadia. 

Di samping itu, Arcadia juga menjelaskan bahawa pencapaian ini adalah hasil dari kerjasama setiap individu dalam pasukan dan sokongan daripada kesemua penyokong setia Gergasi Merah. “Semua ini tercapai hasil kerjasama pasukan. Walaupun pemain seperti Gojes dan Zakqt tidak bermain di atas pentas, namun usaha dan sumbangan mereka menjadi faktor kejayaan pasukan”.

“Turut tidak dilupakan buat para penyokong yang selalu memberikan sokongan kerena hasil kejayaan ini juga datangnya dari sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh mereka”, tambahan Arcadia.

Seterusnya, tumpuan skuad Gergasi Merah akan diteruskan dalam peringkat playoffs, yang bakal menyaksikan pasukan merebut slot ke perlawanan antarabangsa iaitu MSC dan ‘Wildcard MSC’ di World Cup Esports Riyadh.

Skuad Gergasi Merah akan memulakan aksi di peringkat ‘Upper Bracket Semi-Final’ dengan keputusan dari pemenang di peringkat ‘QuarterFinal Bracket’ di antara pasukan Todak ataupun King Empire Esports. 

Menurut pembantu jurulatih iaitu OzoraVeki, pasukan akan berehat sebelum memulakan persiapan bagi saingan playoff. “Pasukan akan berehat selama beberapa hari. Mereka layak untuk rehat yang panjang atas hasil kerja keras yang mereka tunjukkan. Setelah itu, kami akan kembali mempersiapkan pasukan untuk playoff,” tegas OzoraVeki. 

Saingan peringkat playoff MPL Malaysia Musim ke-13 akan bermulakan pada 30 Mei ini dengan format terbaru perlawanan ‘Best Of 5’ bagi setiap perlawanan. 

Pihak pengurusan ingin mengucapkan tahniah atas kejayaan di peringkat liga dan sentiasa mendoakan kejayaan buat Yoodo Selangor Red Giants.

Semoga persiapan pasukan dipermudahkan.

Demi Kebanggaan!