SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan LS2 | Selangor FC vs Kedah Darul Aman FC | 3 Mata Menanti

May 18, 2024 - FAS

Musim baru saingan Liga Super Malaysia 2024/25 bagi skuad Selangor FC diteruskan dengan perlawanan menentang Kedah Darul Aman FC (KDA) hari ini jam 8:15 malam di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Lima pertemuan terakhir bersama Sang Kenari dalam saingan Liga Super menyebelahi squad Gergasi Merah dengan empat kemenangan termasuklah dua perlawanan pada musim lalu, keputusan 3-2 di Kelana Jaya dan 1-0 di Darul Aman.

Malam ini bakal menyaksikan aksi sulung rasmi Nidzam Jamil sebagai Ketua Jurulatih pasukan setelah diberikan kepercayaan penuh kepada beliau untuk mengendali skuad Gergasi Merah 2024/25.

Selain beliau, beberapa wajah baharu #IsRed seperti pertahanan pasukan kebangsaan Uzbekistan, Umarbek Ehsmurodov; penyerang baharu, Ronnie Fernandez; pemain sayap, Alvin Fortes; penjaga gol muda, Azim Al Amin; pemain tengah, Nooa Laine dan penyerang muda skuad kebangsaan Jordan, Reziq Banihani berkemungkinan besar akan membuat penampilan rasmi pertama mereka bersama Selangor FC malam ini.

Tidak lupa juga para pemain yang masih kekal bersama skuad Merah Kuning #StillRed yang telah berusaha keras untuk mendapatkan kejayaan pada musim lalu pastinya mahu terus melakar lebih kejayaan bagi musim ini.

Menurut Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC berkongsi bahawa motivasi pasukan sudah beralih fokus dan yakin pemain sudah bersedia, “Para pemain dan jurulatih banyak belajar daripada situasi pasukan untuk musim ini. Sudah semestinya bukan keadaan yang kami mahukan tetapi saya gembira para pemain dapat kembali fokus kepada pasukan. Motivasi mereka untuk memulakan Liga Malaysia 2024/25 ini berada di tahap yang baik,”

“Karakter pemain di atas padang menjadi keutamaan saya. Tidak kira siapa lawan kami, hanya sikap dan karakter yang mereka pamerkan serta dengan dorongan daripada barisan jurulatih akan membantu kita mendapatkan keputusan yang baik. Saya yakin kita sudah bersedia untuk beraksi pada malam ini.” 

Bagi keberadaan pemain, Zikri Khalili, Raimi Shamsul dan Izwan Yuslan tidak dapat bersama pasukan menentang KDA pada malam ini atas faktor kecederaan.

Pihak pengurusan Selangor FC mendoakan skuad Gergasi Merah dapat meraih kejayaan demi kejayaan untuk musim baharu ini. 

Demi Kebanggaan!