SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS2 | Selangor FC 1-0 Kedah Darul Aman FC | 3 Mata Untuk #GergasiMerah

May 19, 2024 - FAS

Kemenangan pertama Selangor FC dalam aksi Liga Super 2024/25 dengan keputusan 1-0 menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Jaringan tuggal Haiqal Lau pada minit ke-85 telah membawa kemenangan kepada pasukan. Beliau meledak masuk bola ke arah gawang pasukan lawan sebaik sahaja beliau membuat larian ke dalam kotak penalti, sekaligus menggegarkan stadium dengan sorakkan penyokong Gergasi Merah dalam perlawanan #SFCKDA.

Kemenangan rasmi pertama buat Nidzam Jamil setelah diberi kepercayaan mengendali pasukan sebagai Ketua Jurulatih Gergasi Merah. Menurut beliau, kemenangan ini adalah hasil kerja keras antara satu sama lain. 

"Tahniah kepada pemain-pemain atas kemenangan ini. Saya bersyukur pada separuh masa kedua, Haiqal Lau sampai di atas kotak pada waktu yang tepat, menyudahkan gol tunggal kita pada malam semalam. Walau bagaimanapun, kemenangan ini adalah hasil kerja keras semua pemain dan kerjasama mereka di atas padang,”

“Selangor FC adalah sebuah keluarga yang besar, saya yakin pemain telah berikan yang terbaik selepas situasi yang berlaku. Tiga mata ini juga kami hadiahkan buat Faisal Halim dan keluarga beliau.” Ujarnya.

Daripada perlawanan #SFCKDA semalam, beberapa perkara penting menjadi perhatian, seperti:-

  1. Debut pemain baharu Selangor FC 2024/25

Umarbek Ehsmurodov, pertahanan pasukan kebangsaan Uzbekistan; penyerang baharu, Ronnie Fernandez; pemain sayap, Alvin Fortes; dan pemain tengah, Nooa Laine telah membuat penampilan pertama mereka sebagai pemain Kesebelasan Utama bersama skuad Gergasi Merah semalam. 

Tidak lupa juga, penyerang muda skuad kebangsaan Jordan, Reziq Banihani yang telah mempamerkan corak permainan yang cukup memberansangkan dalam separuh masa kedua biarpun baru sahaja bersama keluarga Merah Kuning.

 

  1. Haiqal Lau, penjaring pertama Selangor FC musim ini

Pemain muda yang menjadi antara individu penting yang membawa ‘danger’ kepada pihak lawan dengan kelebihan beliau menjaringkan gol terutamanya di saat-saat getir pada separuh masa kedua. Untuk rekod, ini merupakan jaringan kelima beliau bersama skuad  Selangor FC. Menurut Nidzam Jamil, Haiqal Lau sentiasa berada di atas kotak pada waktu yang tepat, “Haiqal Lau selalu menunjukkan sikap yang sepatutnya, sama seperti pemain lain. Dia sentiasa berada di atas kotak pada waktu yang tepat dan di sebabkan itu, jaringan gol tersebut terhasil.”

Beliau juga telah mendedikasikan gol tersebut kepada rakan sepasukan, Faisal Halim yang masih dalam fasa pemulihan, “#SFCKDA semalam merupakan satu perlawanan yang sengit, kedua-dua pasukan telah berikan yang terbaik dan rezeki memihak kepada kami. Alhamdullilah, saya dapat jaringkan gol ini dan ini hadiah saya untuk Mickey (Faisal Halim).”

  1. Gandingan barisan pertahanan dan Samuel Somerville, penjaga gol membawa kemenangan tanpa bolos. 

Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan yang telah menidakkan serangan-serangan pasukan lawan terutamanya Man Of The Match, Safuwan Baharudin yang setiasa berada tepat pada masa dan posisi untuk menghalang bola daripada membolosi gol. Begitu juga, penjaga gol Selangor FC, Samuel Somerville, telah beraksi dengan baik sekaligus mencapai rekod ke-14 perlawanan tanpa bolos sejak dari musim 2022. 

Walau bagaimanapun, kemenangan semalam tidaklah sempurna tanpa penyokong Gergasi Merah yang telah membanjiri Stadium MBPJ untuk terus berada di belakang pasukan. Terima kasih kami ucapkan.

Selangor FC berharap kemenangan ini akan sedikit sebanyak membantu pasukan untuk terus teguh melalui saingan Liga Malaysia musim 2024/25. Ayuh Gergasi Merah! 

Demi Kebanggaan!