Aug 01, 2024 - FASSelangor FC membawa pulang satu mata selepas terikat dengan keputusan 1-1 menentang Sri Pahang FC di Stadium Temerloh dalam saingan Liga Super 2024/25 ketujuh, semalam.
Satu pertukaran dilakukan dalam kesebelasan utama, Selangor mendapat suntikan awal selepas Alvin Fortes menjaringkan gol pada minit ke-3 perlawanan sebaik sahaja menerima lorongan tepat daripada Sharul Nazeem dari bahagian tengah padang. Namun, ketua pasukan tuan rumah, Stefano Brundo berjaya membantu skuad Tok Gajah menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-42 sebelum tamat separuh masa pertama. Kedua-dua pasukan cuba mengasak dan menembusi kubu lawan masing-masing namun kedudukan seri itu kekal sehingga wisel penamat.
Setakat ini, Selangor FC berada dikedudukan kedua Liga Super dengan 13 mata terkumpul daripada tujuh perlawanan; empat menang, satu seri dan dua kalah. Selain itu, 12 jaringan gol telah tehasil daripada lapan penjaring iaitu tiga gol daripada Ronnie Fernandez, dua gol daripada Yohandry Orozco dan Alvin Fortes serta Aliff Haiqal Lau, Noor Al-Rawabdeh, Reziq Banihani, Zikri Khalili dan Quentin Cheng masing-masing menjaringkan satu gol.
Menurut Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC, tidak bangga dengan keputusan seri.
“Saya hormat dan puji skuad Sri Pahang FC kerana mereka dapat bertahan sehingga tamat perlawanan walaupun kekurang seorang pemain, situasi ini bukan mudah untuk mereka tetapi mereka beraksi dengan baik. Ini merupakan satu mata yang pertama pasukan bagi perlawanan ‘away’, ada beberapa peluang yang kita lepaskan untuk dapatkan lebih jaringan gol. Semestinya bukan satu yang membanggakan tetapi kita perlu atasi situasi ini dengan lebih baik di masa akan datang. Walau bagaimanapun, saya nampak usaha dan banyak perkara positif tetapi bola sepak dipisahkan dengan keputusan perlawanan, kita perlu dapatkan kemenangan untuk perlawanan seterusnya.” jelas Nidzam Jamil.
Seterusnya, pada hari Sabtu ini (3 Ogos 2024), skuad Gergasi Merah akan menerima kunjungan Terengganu FC di Stadium MBPJ bagi aksi Separuh Akhir Piala FA kedua pada jam 9 malam, yang juga merupakan perlawanan penentuan pasukan yang layak ke Perlawanan Akhir saingan ini bagi musim 2024.
Pihak pengurusan Selangor FC yakin dengan keputusan seri 1-1 ini akan membantu pasukan untuk bekerja keras bagi membuat penambahbaikan dari setiap aspek, secara individu mahupun berpasukan. Terus, kuat Gergasi Merah!
Demi Kebanggaan!