SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan FA SF2 | Selangor FC 4-1 Terengganu FC (Agg. 6-4) | Gergasi Merah Tempah Slot Ke Perlawanan Akhir

Aug 04, 2024 - FAS

Skuad Gergasi Merah menempah tiket ke Perlawanan Akhir Piala FA 2024 selepas berjaya menewaskan Terengganu FC 6-4 secara agregat dengan keputusan 4-1 bagi perlawanan Separuh Akhir kedua, semalam di Stadium MBPJ.

Walaupun pulang dengan kurang satu jaringan di Gong Badak minggu lalu, skuad Gergasi Merah berjaya merealisasikan impian ramai untuk mara ke perlawanan Akhir Piala FA 2024 di halaman sendiri, Stadium MBPJ dengan hasil jaringan hatrik Safuwan Baharudin pada minit ke-3, 5 dan 54 yang meletak Selangor FC di hadapan. Kemudian, Reziq Banihani menjarakkan lagi kedudukan dengan gol  beliau pada minit ke 90+3 sebelum pengadil meniup wisel penamat mengesahkan kemenangan Merah Kuning. 

Menurut Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC, kemenangan ini buat mereka yang berada di Stadium MBPJ semalam.

“Saya sebagai Ketua Jurulatih tempatan, cuba beri yang terbaik untuk pasukan kesayangan semua. Berbekalkan pengetahuan dan latar belakang saya, sudah semestinya saya mahu bawa pasukan ini ke perlawanan akhir. Alhamdullilah, sebagai penyokong Selangor dari kecil, juga bekas pemain kelab ini, kejayaan membawa pasukan ini ke perlawanan akhir dengan bantuan jurulatih dan pegawai yang lain, kemenangan ini semestinya membawa kegembiraan. Sebelum pemain keluar untuk beraksi, pasukan telah berjanji untuk menghadiahkan kemenangan kepada keluarga dan para penyokong yang hadir. Saya juga gembira dengan rentak perlawanan yang dapat dikekalkan oleh pemain-pemain yang masuk di separuh masa kedua. Tambahan lagi, atmosfera stadium yang dibawa oleh para penyokong juga membantu pasukan untuk terus beraksi dengan baik semalam,” jelas Nidzam Jamil, ketua jurulatih yang berjaya menempah perlawanan akhir Piala FA buat Selangor FC selepas kali terakhir beraksi pada lima tahun yang lalu.

Daripada perlawanan #SFCTER dalam perlawanan Separuh Akhir saingan Piala FA 2024 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Satu nama, tiga pencapaian dalam satu perlawanan

Safuwan Baharudin, bukan sahaja membimbing pasukan sebagai kapten dan  menghalang serangan-serang bahaya daripada Terengganu FC bersama barisan pertahanan dengan cemerlang, malah telah menjaringkan hatrik pertamanya buat skuad Gergasi Merah dan juga kariernya bagi musim 2024/25 sekaligus ditabalkan sebagai Man of The Match #SFCTER semalam. Untuk pengetahuan, Safuwan juga merupakan ‘centerback’ pertama yang menjaringkan hatrik dalam sejarah Selangor.

Nidzam Jamil memuji kelebihan dimiliki pemain yang seakan pembantu jurulatih di padang baginya, “Saya tidak terkejut dengan jaringan hatrik yang Safuwan, beliau memang memiliki kelebihan ini. Tetapi jaringan volley beliau adalah satu perkara yang perlu diperkatakan. Sebagai seorang pemain pertahanan untuk menjaringkan gol seperti itu, adalah sangat memberansangkan.”

Tiga bantuan gol Yohandry Orozco

Pemain import Selangor FC, Orozco sentiasa terlibat di bahagian serangan dengan ledakan jaringan gol dan juga bantuan gol kepada rakan pasukannya. Biarpun tidak menjaringkan gol dalam perlawanan #SFCTER semalam, beliau berjaya membuat tiga assist; dua sepakan penjurunya tepat ke arah Safuwan Baharudin pada minit ke 3 dan 5 perlawanan serta hantarannya kepada Reziq Banihani pada minit ke 90+3 terus melayakan Gergasi Merah mara ke perlawanan akhir Piala FA. Ketepatan hantaran beliau antara yang menyebabkan terhasilnya bantuan gol bagi 17 jaringan (12 musim lalu dan lima musim ini) sepanjang bersama Gergasi Merah. 

Semua pemain berikan yang terbaik 

Beraksi bagaikan sebuah keluarga besar yang mahukan pencapaian terbaik untuk mengharumkan nama keluarga sendiri, pemain kesebelasan utama dan pemain-pemain gantian telah berikan yang terbaik bagi mengekalkan rentak permainan yang sama dari awal hingga tamat perlawanan sehingga empat gol berjaya dijaringkan. Selain itu, barisan pertahanan dan penjaga gol banyak menindakkan asakan-asakan daripada barisan serangan Terengganu FC walaupun bolos satu jaringan gol. 

Ribuan terima kasih kami ucapkan kepada 10,569 penyokong yang menyemarakkan atmosfera perlawanan sekaligus  berikan semangat tambahan buat para pemain untuk mendapatkan kemenangan dan mara ke perlawanan akhir Piala FA 2024. Anda tiada ganti!

Selangor FC akan berdepan sama ada skuad Kedah Darul Aman atau Johor Darul Ta’zim pada 24 Ogos ini. Sebarang maklumat lanjut di media sosial Selangor FC.

Pihak Selangor FC amat berbangga dengan perjalanan pasukan dalam saingan Piala FA dari ‘Round 16’ hingga ke Separuh Akhir semalam. Semoga rezeki untuk pasukan musim ini!

Demi Kebanggaan!