SELANGOR FC
BERITA

Mohammad Abualnadi #IsRed

Sep 25, 2024 - FAS

Mohammad Abualnadi hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain pertahanan dan sayap kiri terbaru Gergasi Merah yang telah didaftarkan sebelum jendela perpindahan tutup tempoh hari untuk mengharungi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/2025.?

Pemain kelahiran Jordan-Amerika ini memulakan karier beilau bersama Kansas Academy semasa berusia 18 tahun. Beliau telah menapak di Amerika selama lima musim beraksi dalam US Open Cup bersama skuad utama Sporting Kansas City, MLS Next Pro dan USL Championship bersama Sporting Kansas City II. Beliau sempat beraksi dalam 11 perlawanan sebagai pemain muda sebelum menerima tawaran untuk terbang ke Jordan bersama kelab Al-Hussein SC.

Pemain kelahiran 2001 ini juga merupakan pemain kebangsaan Jordan yang telah beraksi bersama skuad bawah 23 tahun dalam Kejohanan West Asian Football Federation B23 (empat penampilan, dua jaringan gol), Pusingan Kelayakan AFC Piala Asia B23 (tiga penampilan dan satu gol) dan Kejohanan AFC B23. 

Musim 2024 menjadi batu loncatan bagi pemain berketinggan 185cm ini apabila menerima panggilan Kebangsaan bagi kem latihan pada bulan Julai sebelum akhirnya membuat penampilan pertamanya bersama skuad utama Jordan semasa menentang North Korea dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 23 Ogos yang lalu. Beliau juga telah tersenarai dalam dua perlawanan kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kuwait dan Palestina baru-baru ini. 

Menyarung jersi nombor 3 Selangor FC musim 2024/25, Abualnadi mahu berikan yang terbaik untuk sama-sama mencapai sasaran kelab.

“Secara jujurnya, saya gembira dapat menyertai Selangor FC. Saya berasa terinspirasi untuk menyertai pasukan ini kerana sejarah yang dimiliki dan para peminat yang penuh semangat memberi sokongan dalam setiap perlawanan. Apabila ejen saya memberitahu berkenaan tawaran yang mereka berikan, saya tahu bahawa inilah tempat yang tepat untuk saya."

“Saya akan berikan segalanya untuk pasukan. Tidak dinafikan, menyarung jersi ini bukanlah satu perkara yang mudah tetapi saya bersedia menghadapinya dan membantu rakan sepasukan dalam mencapai matlamat kami di sini. Saya   amat teruja untuk merasai sokongan padu daripada para penyokong Gergasi Merah dan saya berharap dapat membanggakan mereka dalam mencapai kejayaan musim ini." Harapan Abualnadi, pertahanan dan sayap kiri muda import baharu Selangor FC.

Ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, menyatakan keyakinan beliau terhadap penambahan pemain di bahagian kiri pasukan, "Sebagai jurulatih, saya percaya bahawa beliau akan menjadi aset yang berharga buat pasukan sebagai pemain pertahanan dan pemain sayap di bahagian kiri. Saya juga melihat potensi beliau untuk memperkukuh dinamik barisan pertahanan, terutamanya dalam menghadapi ACL Two 2024/25."

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Abualnadi. Semoga beliau dapat menambah kekuatan barisan pertahanan dan serangan di bahagian kiri skuad Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim 2024/2025 dan saingan ACL 2 2024. #AbualnadiIsRed

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2024/2025.

Demi Kebanggaan!