SELANGOR FC
BERITA

Panggilan Negara Buat Lapan Pemain #GergasiMerah

Oct 06, 2024 - FAS

Kelayakan Piala Dunia 2026 pusingan ketiga diteruskan sepanjang kalender antarabangsa FIFA bermula 7 sehingga 16 Oktober. 

Empat pemain import Selangor FC telah mendapat panggilan bagi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026; Umarbek Eshmurodov mewakili Uzbekistan (Kumpulan A) dan Noor Al-Rawabdeh, Ali Olwan serta pemain import baharu Merah Kuning, Mohammad Abualnadi mewakili Jordan (Kumpulan B).

Dua perlawanan akan berlangsung bagi setiap negara dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 pusingan ketiga ini. Jadual adalah seperti berikut:-

UZBEKISTAN (Kumpulan A)

10 Okt, 10:00 malam -  Uzbekistan lwn Iran

15 Okt, 10:00 malam - Uzbekistan lwn United Arab Emirates

JORDAN (Kumpulan B)

10 Okt, 10:00 malam -  Jordan lwn Republik Korea

16 Okt, 12:00 pagi - Jordan lwn Oman

Setakat ini, Uzbekistan telah mengumpul enam mata, manakala Jordan  meraih  empat mata, kedua-dua negara ini merupakan pendahulu kumpulan A dan B bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 pusingan ketiga.

Dua pasukan teratas bagi setiap kumpulan iaitu enam pasukan (Juara dan Naib Juara) secara automatik layak ke Piala Dunia 2026. Manakala, enam pasukan tempat ketiga dan keempat akan meneruskan perjuangan dalam pusingan keempat Kelayakan Piala Dunia 2026 yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan, Juara kumpulan akan layak ke Piala Dunia. 

Dalam masa yang sama, tiga pemain tempatan skuad Gergasi Merah; Nooa Laine, Harith Haiqal bersama dua wajah baharu, Azim Al Amin dan pemain tonggak Selangor B23, Haykal Danish telah mendapat panggilan Kebangsaan bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Stadium North Harbour, Auckland pada 14 Oktober 2024.

Selangor FC mendoakan kejayaan buat pemain-pemain yang mewakili negara kelahiran dalam menghadapi kalender antarabang FIFA bulan Oktober ini. Semoga berjaya!

Demi Kebanggaan!