Nov 14, 2024 - FAS‘Tak kenal maka tak cinta’ itulah pepatah yang sesuai diungkapkan buat pemain tengah, Nooa Laine sepanjang khidmatnya selama 9 bulan bersama kem Gergasi Merah setakat ini.
Turun buat pertama kali menyarung jersi keramat merah kuning menentang Kedah Darul Aman FC di saingan Liga Super 2024/25, aksi cemerlang beliau telah menjadikan beliau sebagai salah seorang pemain tonggak Selangor FC untuk musim ini dengan mencatatkan sebanyak 23 penampilan serta menyumbang empat ‘assist’ setakat ini. Memiliki teknik kawalan bola yang baik serta corak permainan yang unik, kehadiran Nooa jelas menambah dinamik kepada bahagian tengah pasukan sekaligus menjadikan beliau antara pemain ‘regular’ yang sering dipanggil oleh Pau Marti, Ketua Jurulatih bagi skuad kebangsaan.
Bertanya tentang keberadaan beliau di Selangor FC, Nooa memanjatkan rasa syukur beliau dan terus komited untuk menambah baik corak permainannya, “Saya amat berterima kasih atas kepercayaan berterusan yang diberikan oleh Selangor FC. Saya akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan prestasi saya dan memberi sumbangan kepada kejayaan pasukan. Sebagai pemain, saya akan terus berusaha keras untuk meningkatkan kemahiran diri serta mencapai matlamat peribadi dan pasukan."
Sebelum menamatkan perbualan, beliau juga sempat berkongsikan pengalaman beraksi di pentas Asia yang begitu mengujakan, "Saya gembira dapat bermain bersama rakan sepasukan yang sangat berbakat dan secara jujurnya, saya banyak belajar daripada mereka. Selain itu, beraksi bersama mereka di pentas ACL Two telah meluaskan pengetahuan dan pengalaman saya sebagai pemain muda. Dalam kejohanan ini, setiap aspek permainan diperhatikan dengan teliti, dan saya sedar bahawa kesilapan kecil boleh memberi impak yang besar dalam perlawanan. Pengalaman ini memberi motivasi yang tinggi untuk saya terus memperbaiki corak permainan, serta memastikan saya sentiasa fokus pada setiap perincian untuk memberi sumbangan yang efektif kepada pasukan."
Nooa bersama rakan sepasukan, Harith Haiqal antara dua pemain Gergasi Merah yang kini berada di dalam kem latihan pusat bersama skuad kebangsaan di mana skuad Harimau Malaya itu dijadualkan menentang Loas di Bangkok (14 November) dan India di Hyderabad pada 18 November ini.
Bila bertanya tentang peranan beliau bersama skuad kebangsaan, Nooa turut menyatakan rasa gembira beliau setiap kali mendapat panggilan kebangsaan, “Sudah menjadi impian buat mana-mana pemain untuk mewakili pasukan kebangsaan masing-masing. Begitu juga dengan saya. Antara faktor utama saya menyertai Selangor FC adalah untuk saya terus meningkatkan kualiti saya sebagai pemain bagi mempersiapkan diri untuk pasukan kebangsaan. Kini, saya menggalas tugas bersama pasukan kebangsaan dan sudah pasti saya akan memberikan aksi terbaik serta mengumpul sebanyak mungkin pengalaman untuk saya bawa pulang perkara tersebut bersama kelab”, ujar beliau.
Sebagai makluman tambahan, pemain berdarah kacukan Malaysia-Finland ini diumumkan sebagai pemain pinjaman dari SJK Seinäjoki pada 9 Februari 2024 lalu dengan pilihan pembelian secara tetap, kini telah sah menjadi milik Gergasi Merah bagi terus menguatkan barisan tengah skuad Selangor FC.
Selangor FC amat gembira dengan perkembangan Nooa Laine bersama Gergasi Merah dan kami yakin beliau akan terus membantu pasukan selaras dengan perkembangan kariernya di Liga Malaysia dan ACL2 di masa hadapan. Terus cemerlang Nooa!
Demi Kebanggaan!