Nov 23, 2024 - FASKenali Katsuhito Kinoshi: Ketua Jurulatih Baharu Gergasi Merah
Kelab Bolasepak Selangor (Selangor FC) hari ini dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Katsuhito Kinoshi telah dilantik sebagai Ketua Jurulatih baharu Selangor FC. Memiliki pengalaman yang luas sebagai jurulatih, Kinoshi membawa pengetahuan mendalam tentang permainan serta ciri-ciri kepimpinan yang kukuh. Kepakaran beliau dalam membangunkan pasukan, strategi, serta pembangunan pemain muda pasti akan menjadi aset besar kepada pasukan kami dalam usaha mencapai kejayaan.
Peralihan Ke Dunia Kejurulatihan: Belajar Daripada Yang Terbaik
Dilahirkan di Tokyo, Kinoshi dikenali kerana kebijaksanaan taktikal dan kemahiran kepimpinan. Antara detik penting dalam perjalanan kejurulatihannya adalah apabila beliau berpeluang untuk bekerjasama dengan dua figura terkenal dalam dunia kejurulatihan bola sepak iaitu Dragan Stankovic, Giovanni van Bronckhorst dan Akira Nishino.
Bekerja Bersama Dragan Stankovic
Kerjasama Kinoshi dengan Dragan Stankovic, jurulatih terkenal dari Serbia, memberi impak besar dalam perkembangan kejurulatihan beliau dalam membina pasukan yang kukuh dan berdisiplin. Duo ini mula bergandingan ketika mereka bekerjasama di Nagoya Grampus (2008 - 2014), Kinoshi mempelajari banyak perkara penting mengenai pengurusan permainan, struktur pertahanan, dan pentingnya membina pasukan yang tidak hanya berdisiplin dari segi taktikal malah juga memiliki mental yang teguh.
Stankovic kemudiannya membawa Kinoshi untuk menyertai beliau bersama skuad kebangsaan Serbia (2021 - 2024) di mana mereka berjaya membawa skuad ‘The Eagles’ muncul juara Kumpulan 4 UEFA Nations League B 2022/23 selepas menumbangkan Sweden sekaligus mempromosikan pasukan mereka untuk kini bertanding di saingan UEFA Nations League A bersama Sepanyol, Denmark dan Switzerland. Antara kejayaan lain mereka bersama adalah membantu Serbia layak ke pusinganh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar menentang Brazil, Switzerland dan Cameroon.
Belajar Dari Giovanni van Bronckhorst
Perjalanan kejurulatihan Kinoshi berkembang lagi ketika beliau berkelana di China dan mendapat bimbingan Giovanni van Bronckhorst, bekas pemain antarabangsa Belanda yang terkenal dengan gaya kejurulatihannya yang fleksibel dan menyerang. Di bawah tunjuk ajar van Bronckhorst di Guangzhou City (2015 - 2021), Kinoshi banyak mempelajari cara permainan menyerang dan pentingnya gaya bola sepak yang dinamik dan fleksibel.
Daripada van Bronckhorst, Kinoshi belajar untuk mengintegrasikan kaedah-kaedah kejurulatihan moden, seperti tekanan tinggi, peralihan pantas, dan permainan posisi. Kebolehan van Bronckhorst untuk menyesuaikan taktikal berdasarkan lawan mengajar Kinoshi tentang pentingnya fleksibiliti serta kemampuan untuk membuat perubahan taktikal secara langsung semasa perlawanan, satu sifat yang akan dibawa oleh Kinoshi ke dalam peranannya sebagai Ketua Jurulatih di Selangor FC.
Apa yang Dibawa Oleh Kinoshi ke kem Gergasi Merah
Sebagai Ketua Jurulatih baharu, pengalaman luas Kinoshi, kemahiran taktikal, dan kepimpinan beliau akan menjadi aset yang sangat berharga kepada skuad Gergasi Merah. Pengalaman luasnyanya bekerja dengan Dragan Stankovic, Giovanni van Bronckhorst dan Akira Nishino telah membentuk falsafah kejurulatihan beliau yang unik, yang menggabungkan disiplin taktikal dengan permainan menyerang yang kreatif, serta penekanan terhadap semangat berpasukan.
Kinoshi terkenal dengan memberi penekanan terhadap pembangunan pasukan yang seimbang serta berdisiplin, dan mampu bersaing di peringkat tertinggi. Beliau telah menyatakan bahawa beliau sangat teruja untuk bekerja dengan barisan pemain Selangor FC yang berbakat dan menjangkakan pasukan yang teratur, dinamik, dan bersedia untuk berjuang bagi setiap perlawanan. Komitmennya terhadap pembangunan pemain dan semangat ingin menang akan menjadi teras kepada kejayaan pasukan dalam musim yang akan datang.
Sempat berkongsikan keterujaannya, Coach Kinoshi berkata, "Saya merasa terhormat untuk menyertai Selangor FC dan saya teruja untuk bekerja dengan pemain-pemain berbakat di sini. Bersama-sama, kami akan berusaha untuk membina sebuah pasukan yang bukan sahaja kukuh dari segi taktikal, tetapi juga penuh dengan semangat dan tekad untuk berjaya." ujar beliau.
Turut ditemubual, Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar menzahirkan rasa gembira beliau dan amat mengalu-alukan kehadiran Coach Kinoshi untuk membimbing Gergasi Merah. "Kami sangat gembira untuk mengalu-alukan kehadiran Coach Kinoshi ke dalam keluarga Selangor FC. Pengalaman luas dan kepimpinannya akan menjadi kunci penting untuk kami memulakan babak baru yang menarik ini. Kami yakin bahawa visi beliau akan membimbing pasukan menuju kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan." kata Datuk Seri Dr Shahril Mokhtar.
Dengan pengumuman Katsuhito Kinoshi sebagai Ketua Jurulatih baharu, kelab sedang memasuki satu fasa baru yang penuh potensi. Kepakaran beliau dalam kejurulatihan, bersama dengan pengalaman yang beliau peroleh daripada bekerja dengan beberapa jurulatih terkemuka, akan memberikan pasukan hala tuju dan identiti yang diperlukan untuk berjaya.
Sama-sama kita menyambut kehadiran Kinoshi ke dalam keluarga Gergasi Merah. JTerus ikuti laman sesawang rasmi Selangor FC untuk info-info terkini melibatkan pasukan.
Demi kebanggaan!