SELANGOR FC
BERITA

YOUNG GIANTS: SEKYS (SRG)

Jan 31, 2025 - FAS

Sekys atau nama sebenar Muhammad Haqqullah bin Ahmad Shahrul Zaman merupakan pemain utama di posisi ‘Jungler’ bagi pasukan Selangor Red Giants Esports. Nama beliau tidak asing di kalangan komuniti permainan Mobile Legends: Bang-Bang (MLBB) di Malaysia lebih-lebih lagi apabila beliau dinobatkan sebagai ‘Finals MVP’ selepas perlawanan ‘Grand Final’ untuk kejohanan MSCxEWC 2024 di bumi Riyadh, tahun lalu.

Sekys yang berasal dari Marang, Terengganu sangat meminati permainan video sejak usianya 7 tahun lagi, terutama sekali permainan Dota. Ketika era ‘cyber cafe’ yang sangat popular pada zaman itu, Sekys sangat aktif dalam dunia e-sukan sehingga berjaya memenangi beberapa kejohanan amatur untuk permainan Dota. Sejak itu, Sekys mula menyedari bahawa e-sukan sememangnya boleh menjana pendapatan hariannya dengan bermain secara kompetitif.

Ketika pandemik Covid-19 melanda, Sekys mula beralih ke permainan mudah alih iaitu Mobile Legends:Bang-Bang dan beliau berpendapat bahawa permainan itu lebih mudah untuk dimainkan kerana hanya perlu dimainkan menggunakan telefon pintar. Minatnya terhadap permainan itu semakin mendalam sehingga beberapa pemain profesional dan nama besar dalam dunia esport mula mengenali Sekys, antaranya  ‘2ez4pv’, bekas pemain profesional pasukan Saiyan dan Geek Fam suatu ketika dahulu.

Melihat potensi yang dimiliki oleh Sekys pada ketika itu, Jep, seorang bekas pemain profesional e-sukan, telah menawar Sekys untuk menjadi antara pemain pasukannya yang dikenali sebagai ‘Cicharaga’. Ini menjadi titik permulaan perjalanan dan perkembangan Sekys dalam arena MLBB. Selepas itu, Sekys mula melebarkan sayapnya ke Kuala Lumpur untuk bersama pasukan On Air Esports semasa usianya 15 tahun.

Prestasi Sekys bersama pasukannya ketika itu cukup cemerlang sehingga mereka mencipta peluang untuk beraksi bersama Homebois Akademi, di bawah jagaan pasukan Homebois, sebuah pasukan yang disegani di kalangan komuniti e-sukan Malaysia. Ketika itu, Sekys mula mendapat pendedahan yang mendalam tentang kerjaya dalam bidang e-sukan. Selepas lapan bulan, bakat beliau dan rakan sepasukan mula dikesan oleh pasukan Elux Esports yang ketika itu di bawah naungan Encik Simon Lim, Encik Lokman Hakem dan Encik Chang Kok Leong (Gary).

Karier Sekys sebagai pemain Semi-Profesional bersama pasukan Elux semakin bersinar, apabila mereka berjaya merajai hampir keseluruhan kejohanan Tier-2 termasuklah kejohanan Esportsmy MLBB Championship dan kejohanan Semi-Pro MSPC selama 2 musim. Mengimpikan pentas Mobile Legends: Bang-Bang Professional League (MPL) Malaysia, Sekys dan rakan sepasukan Elux, berjaya layak ke kejohanan tersebut bagi musim ke-11 selepas berjaya menumpaskan pasukan Tupai Esports dalam peringkat kelayakan MPL, pada Disember 2022, selepas dua percubaan bagi mendapatkan tempat beraksi dan bersaing bersama pemain handalan lain dalam dunia e-sukan.

Pada awal Januari 2023, Sekys pada masa itu berusia 16 tahun dan rakan sepasukan telah menerima tawaran untuk menjadi antara pemain pertama bersama pasukan baharu e-sukan yang ditubuhkan oleh Selangor FC, dikenali sebagai Yoodo Red Giants (Kini dikenali sebagai Selangor Red Giants Esports). Pelbagai kenangan pahit dan manis telah beliau lalui sepanjang empat musim bersama SRG. Walaupun berusia muda dan banyak menerima kritikan pada awalnya, namun barisan kejurulatihan tetap percaya dengan potensi Sekys, “Kali pertama saya melihat permainan Sekys, beliau mempunyai potensi yang sangat besar. Lebih-lebih lagi beliau menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk pergi lebih jauh. Jadi saya bersedia untuk membantu pemain seperti beliau,” ujar jurulatih taktikal pasukan Selangor Red Giants, Poon Kok Sing atau lebih dikenali sebagai ‘Ozoraveki’.

Musim demi musim dan kejohanan demi kejohanan, Sekys mula menunjukkan kematangan dalam permainan beliau. Pada tahun 2024, Sekys dan pasukan telah menjulang empat trofi kejuaraan daripada enam kejohanan yang disertai. Antara detik yang membanggakan adalah apabila beliau berjaya mewakili Malaysia meraih kejuaraan pertama peringkat antarabangsa sekaligus dinobatkan sebagai ‘Finals MVP’ (atau pemain terbaik) kejohanan MSCxEWC 2024. Sejak dari itu, Sekys mula dikenali di seluruh dunia dan beliau juga mendapat gelaran ‘Sky Prince’ dalam arena kompetitif. Menzahirkan rasa syukur atas segala usaha serta pencapaian beliau bersama rakan sepasukan, “Alhamdulillah, saya tidak sangka bahawa tahun 2024 akan menjadi cukup bermakna untuk karier e-sukan saya, tahun yang saya boleh katakan cukup cemerlang bagi diri saya dan rakan pasukan. Saya amat bersyukur kerana dikelilingi dengan rakan sepasukan yang saling bantu satu sama lain, pihak pengurusan yang sentiasa berikan kepercayaan penuh kepada kami dan keluarga yang sentiasa mendoakan kejayaan kami,” kata pemain yang telah berusia 19 tahun ini.

Cerita tentang tahun baru, Sekys berazam untuk kekal fokus untuk cuba meraih lebih pelbagai kejuaraan bersama pasukannya, “Segala kejayaan ini bukanlah untuk diri saya sendiri, tetapi keluarga kami dan seluruh rakyat Malaysia. Bagi tahun 2025, kami (rakan sepasukan) akan terus berikan yang terbaik dan buktikan bahawa pasukan Malaysia juga antara salah satu pasukan pencabar e-sukan di peringkat antarabangsa,” tambah Sekys.

Selain itu, beliau juga berharap agar dapat sekali lagi beraksi untuk pasukan kebangsaan bagi kejohanan seperti Sukan Sea 2025 yang bakal berlangsung di Thailand pada hujung tahun ini.

Pihak pengurusan serta seluruh keluarga Selangor Red Giants Esports sentiasa percaya dan mendoakan kejayaan Sekys bersama pasukan bagi tahun 2025 ini. Semoga berjaya Adik!

Demi Kebanggaan!