SELANGOR FC
BERITA

Sorotan: Kepimpinan Nooa di Final 1 MFLCC

Feb 21, 2025 - FAS

Nooa Laine, pemain tengah Red Giants, menceritakan detik beliau diserahkan lilitan kapten selepas ketua pasukan, Safuwan Baharudin digantikan berikutan insiden kad merah yang tidak disengajakan pada minit ke-10 Final 1 MFL Challenge Cup 2024/25.

"Sejujurnya, saya tidak terlalu memikirkan tentang menjadi seorang kapten pada masa itu,"

"Kerana ketika itu, pasukan akan bermain dengan hanya 10 pemain, jadi saya lebih fokus untuk menerima hakikat bahawa perlawanan akan menjadi sangat sukar."

"Dalam masa yang sama, saya sedar bahawa setiap minit amat mencabar."

“Ketika itu, rancangannya adalah kami perlu kekal lebih kompak dan berdisiplin dengan segala yang kami ada, untuk mendapatkan keputusan yang terbaik,”

Bertanya kepada Nooa apa yang membuatkan pasukan berhempas pulas sehingga tamat perlawanan walaupun beraksi dengan hanya 10 orang pemain.

"Tiga gol benar-benar mengubah keadaan untuk kami."

"Dengan keadaan tidak menyebelahi kami, dua gol klinikal Fortes dan gol kemenangan dari Ali mengubah situasi pasukan ketika itu. Terasa seperti harapan muncul dengan cerah."

"Tekanan yang kami hadapi tidak hilang, tetapi itu memberi kami keyakinan untuk terus berikan yang terbaik."

“Pada akhirnya, keputusan jelas menunjukkan kami bekerja keras sebagai satu pasukan untuk meletakkan diri kami di hadapan bagi perlawanan Akhir 1 ini.”

Memandangkan ini bukan kali pertama Nooa Laine memakai lilitan kapten, Nooa turut berkongsikan perasaan beliau memimpin Selangor FC sebagai kapten.

“Setiap kali saya diberi tanggungjawab sebagai kapten, saya berusaha untuk kekal berikan sehabis baik tanpa memikirkan tentang tanggungjawab terlalu mendalam,”

"Menjadi seorang kapten atau tidak, tidak mengubah pendekatan saya untuk beraksi dengan baik."

"Sudah tentu, sesetengah pemain mungkin mengharapkan perbezaan atau menunjukkan peningkatan dengan lebih ketara,"

"Tetapi saya hanya fokus untuk beraksi sebagai Nooa, sama ada saya mempunyai lilitan kapten atau tidak."

“Bagi saya, perkara yang paling penting ialah konsisten dan menjalankan tanggungjawab untuk pasukan.”

"Jika jurulatih memutuskan untuk memberikan lilitan tangan kepada orang lain, itu tidak menjadi masalah bagi saya."

"Saya sentiasa bersedia untuk membantu pasukan, tidak kira apa peranan yang diberikan kepada saya."

"Dan jika saya diamanahkan untuk menjadi kapten, saya akan memakainya dengan bangga dan berikan yang terbaik, bekerja bersama-sama dengan seluruh skuad untuk mencapai matlamat kami bersama."

Nooa, yang dilahirkan pada 2002, merupakan antara pemain termuda dalam skuad Gergasi Merah, namun itu bukan penghalang untuk beliau mempunyai hubungan yang baik dengan pemain senior terutamanya barisan pemain import. Ini menimbulkan persoalan: bagaimana rasanya menjadi ketua pasukan kepada pemain-pemain senior yang berpengalaman dan rakan sepasukannya yang lain?

"Jika saya boleh berikan sebarang nasihat, motivasi atau bantuan, saya akan berbuat demikian, walaupun tanpa ketika itu saya bukan kapten."

"Ya, mereka ada juga kadang-kadang mengusik tentang menjadi salah seorang kapten,"

"tetapi semuanya itu hanyalah gurauan mesra antara kami."

Perbualan tamat.

Esok akan menjadi hari penentuan pemenang MFL Challenge Cup 2024/25 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, dengan waktu sepak mula ditetapkan pada pukul 9 malam.

Jumpa anda di sana!

Demi Kebanggaan!