Apr 18, 2025 - FASMusim yang dramatik buat skuad bawah 23 tahun Selangor FC selepas berjaya menamatkan kedudukan di tempat kedua dalam saingan Liga Piala MFL 2024/25.
Beraksi dalam 24 perlawanan, pemain-pemain bawah 23 tahun berjaya meraih dengan 52 mata terkumpul daripada 16 kemenangan, empat seri dan empat kekalahan.
Sepanjang Piala MFL 2024/25 berlangsung, Aiman Hakimi, merupakan pemain paling lama beraksi di atas padang bersama pasukan dengan 1,863 minit. Diikuti, Haykal Danish dengan 1,817 minit, Izrin Ibrahim 1,655 minit, Rahman Daud 1,623 minit dan Raimi Shamsul, ketua pasukan sebanyak 1,588 minit, menjadikan mereka lima pemain yang memiliki minit permainan terbanyak bagi musim ini.
Berbeza dengan penampilan terbanyak, Rahman Daud merupakan satu-satunya pemain yang berjaya menyenaraikan nama beliau dalam kesemua 24 perlawanan. Kemudian, Izrin Ibrahim dan Harry Danish beraksi dalam 22 perlawanan, Haykal Danish dan Raimi Shamsul dengan 21 perlawanan, Aiman Hakimi, Zharif Zaini, Fakhri Azri dan Nabil Qayyum dalam 19 perlawanan, serta Rohisham Haiqal dengan 18 perlawanan.
Musim ini, skuad bawah 23 tahun merupakan pasukan terbanyak menjaringkan gol dengan 61 gol dalam 24 perlawanan. Rahman Daud menjadi penjaring terbanyak pasukan serta kedua terbanyak PMFL dengan 12 jaringan gol termasuk hatrik pertama beliau dalam perlawanan terakhir Kedah Darul Aman Piala MFL. Diikuti, Haykal Danish dengan tujuh jaringan gol. Kemudian, Harry Danish dan Rohisham Haiqal dengan lima jaringan gol. Izrin Ibrahim dan Nabil Qayyum kongsi empat jaringan gol. Manakala, Alexander Agyarkwa, Reziq Banihani dan Omid Musawi menjaringkan tiga gol. Faiz Amer, Aiman Hakimi dan Fakhri Azri dengan dua gol dan Raimi Shamsul, Haiqal Haqeemi, Ruventhiran Zikri Khalili, Izwan Yuslan, Afiq Danish, Sharul Nazeem dan Aiman Yusuf telah menjaringkan satu gol untuk skuad Gergasi Merah B23.
Selain itu, mengikut data statistik, Izrin Ibrahim telah melakukan lapan ‘assist’, menjadikan beliau pencatat bantuan gol terbanyak pasukan. Diikuti, Haykal Danish dengan tujuh bantuan gol. Kemudian, Raimi Shamsul, Haykal Danish, Adam Haikal, Rohisham Haiqal dan Nabil Qayyum dengan empat ‘assist’. Seterusnya, Fakhrul Azri dan Omid Musawi dengan tiga ‘assist’. Seterusnya, Ruventhiran, dan Rahman Daud dengan dua ‘assist’. Serta, Aiman Hakimi, Zharif Zaini, Azim Al Amin, Zikri Khalili, Afiq Danish dan Yohandry Orozco telah menyumbang satu ‘assist’ dalam Piala MFL 2023.
Skuad kendalian Abdifitaah Hassan ini juga telah mencatat lapan rekod 'Clean Sheet' dalam 24 perlawanan; lima perlawanan dalam pusingan pertama menentang Sabah FC, Terengganu FC (2-0), PDRM FC (2-0), Perak FC (0-0), Kuala Lumpur City Extension (2-0) serta tiga perlawanan dalam pusingan kedua menentang Kuching City FC (5-0), Kelantan Darul Naim FC (1-0) dan Kedah Darul Aman FC (7-0).
Peningkatan demi peningkatan, serta pencapaian demi pencapaian telah dicapai oleh Selangor bawah 23 tahun sejak tahun penubuhan, 2020. Pada tahun 2023, pertama kali Piala MFL dimainkan, pasukan menamatkan kedudukan di tempat keempat, manakala pada tahun penutup, musim 2024/25, pasukan berjaya lonjak ke tempat kedua dengan purata umur pemain 20.4 tahun, skuad termuda dalam kejohanan.
Pihak Pengurusan Selangor FC amat berbgangga dengan pencapaian lima tahun skuad bawah 23 tahun. Semoga para pemain terus berusaha keras untuk kemajuan diri sendiri sendiri bagi mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan.
Raimi Shamsul (Kapten Pasukan): "Saya bangga, teruja, seronok, dan dalam masa yang sama, sedih kerana tahun ni bukan tahun yang mudah untuk kami lalui. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua pemain, barisan jurulatih dan pegawai yang banyak beri sumbangan dalam pasukan."
Rahman Daud (Penjaring Terbanyak Pasukan): "Sudah semestinya kita tidak berpuas hati berada di tempat kedua, namun alhamdulillah, kami telah berikan yang terbaik untuk mengharungi cabaran untuk musim ini."
Izrin Ibrahim ('Assist' Terbanyak Pasukan): "Satu perjalanan penuh cabaran, jatuh, bangun, tawa dan air mata tetapi setiap detik jadikan kita lebuh kuat dan bersedia untuk menghadapi setiap cabaran yang mendatang."
Haykal Danish (Calon 3 Pemain Terbaik PMFL & Pemain Muda Terbaik ABK 2024/25): "Satu pasukan telah buat yang terbaik untuk musim terakhir Piala MFL termasuk barisan pemain, jurulatih dan pegawai. Saya harap kita dapat teruskan momentum baik ini untuk musim hadapan."
Harry Danish (Calon 3 Pemain Terbaik PMFL ABK 2024/25): "Macam-macam rezeki yang datang tak di sangka-sangka. Saya amat bersyukur dapat membantu pasukan mendapat tempat kedua Piala MFL biarpun pada awalnya saya agak gementar kerana saya tidak ada pengalaman luas seperti yang lain, namun saya tetap berikan yang terbaik. Terima kasih kepada yang percaya, rakan sepasukan, barisan jurulatih dan pegawai."
Demi Kebanggaan!