Apr 29, 2025 - FASBaru-baru ini, unit Media SFC sempat meluangkan masa untuk menemuramah salah seorang kakitangan SFC yang telah lama menabur bakti buat kelab.
Rata-rata penyokong Merah Kuning pasti pernah mendengar nama ‘Kak Sar’ dan mungkin juga ada yang mengenali wajah mesra ini yang tak lekang dek senyuman setiap kali menyantuni penyokong yang hadir untuk membeli barangan rasmi SFC sama ada di stadium, mahupun di Pusat Latihan Selangor FC (SFCTC).
Ikuti temubual Wajah Bola Selangor di mana episod kali ini menceritakan perkongsian bersama ‘Kak Sar’ selain mengetahui rutin-rutin serta cabaran dalam pekerjaan harian beliau bersama Gergasi Merah.
“Nama diberi Sariah Mahmud dan tahun ini saya berusia 59 tahun. Saya sudah bekerja bersama Selangor hampir 23 tahun, bermula daripada tahun 2002 sehingga kini. Saya antara pekerja yang sempat merasa bekerja di bawah Persatuan dan juga Kelab.
Pada awalnya, pengetahuan saya tentang bola sepak tidaklah setinggi seperti para penyokong lain, tetapi lama-kelamaan saya mula ambil tahu dan mempunyai pemahaman yang mendalam tentang bola sepak selepas melihat para pemain berlatih dan bermain dalam setiap perlawanan, lagi-lagi perlawanan ‘Home’ di Stadium Shah Alam sebelum ini. Dahulu saya cuma mengenali Mokhtar Dahari sahaja, kerana beliau sangat terkenal pada zaman itu, tetapi sekarang saya berpeluang untuk bekerja secara dekat dengan Faisal Halim, seorang pemain yang dikenali ramai (ketika ini) serta para jurulatih, dan pemain-pemain lain.
Sepanjang di bawah Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), saya ditugaskan sebagai ‘tea lady’, jadi tugas saya adalah menyediakan makanan dan minuman buat kakitangan, memastikan kawasan tempat makan di pejabat sentiasa bersih serta membantu kakitangan yang memerlukan bantuan seperti mengira stok barangan, mengatur surat dan lain-lain.
Kemudian, apabila FAS melalui proses penjenamaan semula menjadi Selangor FC (SFC), saya diberi peluang untuk bekerja di bahagian jualan barangan rasmi kelab atau Unit ‘Merchandise’, sebagai seorang juruwang utama di Pop-up Store yang berada di tempat latihan rasmi Selangor, SFC Training Centre. Selain itu, secara tidak langsung saya terlibat dalam memastikan para pembeli menerima barangan yang tepat, mengira stok barangan keluaran kelab serta menyediakan barangan di setiap majlis ‘event’.”
Sempat ditanyakan mengenai proses pembelian, ‘Kak Sar’ juga menekankan bahawa teknologi hari ini banyak memudahkan urusan kerja harian beliau bersama Gergasi Merah. ‘Kak Sar’ juga sempat berkongsi cabaran atau detik pengalaman pahit beliau ketika sedang bekerja.
“Pop-up Store di sini kecil sahaja, biasanya saya jaga seorang diri, seronoklah dapat jumpa para penyokong yang ingin membeli jersi dan barangan rasmi kelab. Jika di Stadium atau majlis besar, ada beberapa orang ‘volunteer’ yang akan sama-sama bekerja bagi memastikan proses pembelian akan jadi lebih mudah untuk para pembeli.
Urusan pekerjaan harian saya juga semakin mudah selepas Malaysia mula terkenal dengan penggunaan sistem pembayaran mudah alih, Quick Response Code (QR) dalam transaksi jual dan beli. Pada awalnya sukar juga untuk saya sebagai orang lama untuk menyesuaikan diri, tetapi saya tekad untuk belajar cara pemprosesan pembayaran, walaupun mengambil sedikit masa, tetapi Alhamdulillah, saya tidak mengambil masa yang lama untuk membiasakan diri.
Akan tetapi, apabila ada perlawanan besar, tugasan saya akan lebih mencabar kerana akan ada ramai pelanggan yang datang untuk membuat pembelian. Saya perlu pastikan stok barangan cukup dan perlu menambah stok semula jika kehabisan. Pernah sekali, sedang kami sibuk melayan para pembeli, kes kecurian berlaku di patung pameran jersi di hadapan kedai ketika suasana sesak dengan ramai orang. Jadi kami terpaksa memikirkan cara untuk menggantikannya, agak sukar situasi ini untuk kami tempuh tetapi alhamdulillah, semuanya terkawal.”
Telah berkhidmat selama hampir 23 tahun, sudah pasti ‘Kak Sar’ sempat menikmati perbezaan di pejabat lama dan baharu SFC.
“Disebabkan saya sempat bekerja di pejabat lama dan sekarang, antara perkara yang saya suka di pejabat baharu adalah lokasi yang lebih strategik, bilik mesyuarat yang besar, tempat makan dan berehat lebih selesa, lokasi berhampiran dengan RG Medical Centre dan pejabat sekarang betul-betul di sebelah padang latihan jadi kita dapat tengok pemain berlatih setiap hari”, ujar beliau.
Apabila ditanyakan tentang kenangan manis sepanjang bekerja bersama Gergasi Merah, berikut adalah respon daripada ‘Kak Sar’.
“Sepanjang saya bekerja, banyak juga kenangan manis seperti tahun lalu, saya menang cabutan bertuah, di mana pihak pengurusan menerbangkan saya ke Bangkok, Thailand, bagi menyaksikan perlawanan AFC Champions League Two (ACL) menentang Muangthong United FC bersama empat orang kakitangan yang lain. Sudah semestinya, itu satu pengalaman yang sangat menyeronokan. Selain itu, pihak pengurusan juga pernah menganjurkan aktiviti riadah bersama pekerja seperti di Cherating, Pahang, Pulau Perhentian, Terengganu dan tahun lepas di Sunway Lagoon.
Antara perkara yang buat saya rasa dihargai adalah kadang-kadang dari jauh penyokong jerit nama saya sebelum sampai ke Pop-up Store. Rasa terharu, sebab ramai yang sudah kenal saya dan tahu saya sudah lama bersama Selangor FC.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong SFC yang sentiasa menyokong kami dengan membeli barangan rasmi kelab dan sentiasa beri semangat kepada kami. Tanpa anda semua, saya tidak akan sampai sejauh ini.”
Sariah Mahmud
Eksekutif Khidmat Pelanggan SFC