May 06, 2025 - FASSelangor FC Memacu Hubungan Antara Bola Sepak dan Sukan Permotoran
Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) secara rasmi mengumumkan kerjasama dengan Haro Sports & Entertainment Sdn. Bhd. yang menghubungkan Selangor FC dan SUPER GT Malaysia bagi musim 2025/26 akan datang. Ini bukanlah kali pertama sukan bola sepak dan sukan permotoran digabungkan buat Selangor FC, namun, kerjasama ini bertujuan memberikan pengalaman baharu kepada kedua-dua industri sukan ini serta meluaskan lagi nama kelab di persada antarabangsa.
SUPER GT merupakan sebuah kejohanan sukan lumba kereta yang berpusat di Jepun, menampilkan dua kelas perlumbaan iaitu GT500 dan GT300 serta pelbagai pengeluar dari Jepun dan antarabangsa. Kejohanan ini berlangsung sebanyak lapan kali setahun; tujuh daripadanya akan dipertandingkan di Jepun, manakala satu lagi pertandingan tersebut akan dijalankan di Malaysia, menjadi satu-satunya negara yang bersaing dalam perlumbaan SUPER GT Malaysia pada 26-28 Jun di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.
Acara ini tidak akan menjadi nyata tanpa, Haro Sports & Entertainment Sdn. Bhd yang merupakan penganjur tempatan, menganjurkan dan menggabungkan kedua-dua Selangor FC dan SUPER GT Malaysia bagi memastikan perkongsian eksklusif biarpun bola sepak dan perlumbaan kereta masing-masing merupakan dua dunia sukan yang berbeza.
Antara kelebihan yang telah ditawarkan adalah pas akses eksklusif ke acara SUPER GT Malaysia pada 26 hingga 28 Jun 2025 di Sepang yang akan diberikan kepada pemegang Pas Bermusim Grandstand Selangor FC Musim 2025/26. Ini akan memberi peluang kepada penyokong setia Selangor bagi turut merasai pengalaman menonton perlumbaan SUPER GT dari tempat duduk Grandstand yang julung kalinya dipertandingkan di Malaysia setelah 10 tahun. Disamping itu, para pengunjung turut berpeluang untuk mengenali budaya, makanan dan hiburan dari Jepun yang dibawakan khas secara eksklusif oleh Nihon Matsuri, sebuah festival kebudayaan Jepun yang terkenal. Sementara itu, Rakan Platinum Super GT Motorsports dan Haro Sports & Entertainment pula akan diberi peluang untuk menikmati akses Skydeck semasa perlawanan Selangor FC sepanjang musim 2025/26 di Stadium MBPJ.
Daripada kolaborasi eksklusif ini, Dr Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC berkongsikan harapan beliau, "Melalui kerjasama ini, saya percaya pelbagai keunikan yang akan terhasil kerana bola sepak dan sukan lumba kereta adalah dua dunia sukan yang berbeza. Kita tahu budaya sukan permotoran ini juga mempunyai tarikan yang tersendiri, dan apabila digabungkan dengan bola sepak, saya yakin akan membuka dimensi baharu dalam mencipta pengalaman yang berharga di antara dua sukan ini, tambahan kepada pengalaman baharu yang bernilai dalam mewujudman kerjasama ini. Para penyokong setia akan dapat merasai suasana perlumbaan kereta melalui kejohanan yang cukup tersohor di kalangan sukan perlumbaan pemotoran ini antara perkara yang kami amat gembira dapat berikan kepada penyokong Gergasi Merah.
Selain itu, kolaborasi ini juga akan dimanfaatkan dengan pertukaran idea dalam menerokai dunia komersial dan kreatif dengan menghasilkan konten yang mampu meluaskan nama kelab dan sukan bola sepak Malaysia serta industri sukan perlumbaan permotoran dengan pendekatan yang unik dan kreatif. Dengan kerjasama ini, saya berharap Selangor FC, Haro Sports & Entertainment dan SUPER GT Malaysia akan mencipta lebih banyak pencapaian bersama.”
Fahrizal Hasan, Ketua Pegawai Eksekutif Haro Sports & Entertainment Sdn. Bhd turut menyatakan kegembiraannya kerana dapat menggabungkan dua sukan dengan satu matlamat yang sama “Kami amat gembira dapat menjadi perantara dalam menggabungkan Selangor FC dan SUPER GT Malaysia. Kami mensasarkan keteguhan hubungan di antara sukan bola sepak dan sukan permotoran yang akan memberikan banyak faedah bersama. SUPER GT Malaysia juga berharap agar melalui kerjasama ini akan berikan inspirasi bagi lebih banyak gabungan unik di masa hadapan. Pihak kami juga ingin meningkatkan penglibatan sepenuhnya dalam kolaborasi eksklusif di antara Selangor FC dan SUPER GT Malaysia.” kata beliau.
Selangor FC amat berbesar hati atas kolaborasi ini dan kesudian Haro Sports & Entertainment Sdn. Bhd dan SUPER GT Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Merah Kuning. Kolaborasi ini bukan sahaja akan mengembangkan lagi hubungan strategik akan tetapi menjadi simbol perpaduan dan semangat dalam sukan bola sepak dan sukan permotoran.
Kelab Bola Sepak Selangor - Sebuah kelab bola sepak profesional di Malaysia. Kelab ini ditubuhkan pada tahun 1936 dan bermula sebagai Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan telah melalui proses penjenamaan semula kepada Kelab Bola Sepak Selangor (SFC) pada tahun 2020. Kelab ini juga mempunyai sejarah yang kukuh dalam arena bola sepak Malaysia.
Super GT Motorsports - Sebuah kejohanan sukan perlumbaan kereta yang berpusat di Jepun, menampilkan dua kelas iaitu GT500 dan GT300 serta pelbagai pengeluar dari Jepun dan antarabangsa. Selain itu, GT bermaksud Grand Touring. Ia merupakan tahap tertinggi perlumbaan sukan kereta di negara tersebut, yang disahkan oleh Persekutuan Automobil Jepun (JAF) dan dikendalikan oleh Persatuan GT (GTA).
HARO Sports & Entertainment - Sebuah syarikat Malaysia yang mengkhusus dalam sukan dan hiburan. Terkenal kerana mempromosikan Super GT Motorsports di Malaysia dan wilayah terpilih, serta memegang hak untuk pengedaran konten Super GT Motorsports di luar Jepun. Antara kelebihan mereka termasuk pengurusan acara dan menghasilkan konten tertutamanya konten online yang disebarkan melalui media sosial.