The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Tahniah Noor Al-Rawabdeh, Mohammad Abualnadi Dan Jordan FA Atas Kelayakan Piala Dunia 2026

Jun 12, 2025 - FAS

Jordan mencipta sejarah apabila berjaya menempah slot Piala Dunia untuk kali pertama selepas menewaskan Oman dengan keputusan 3-0 pada 6 Jun yang lalu.

Menamatkan kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan 16 mata terkumpul daripada empat kemenangan, empat seri dan dua kekalahan, menjadikan Al-Nashama negara Arab pertama layak ke Piala Dunia 2026.

Sementara itu, Noor Al-Rawabdeh, pemain tonggak tengah Selangor FC berjaya membuat ‘comeback’ bersama skuad Jordan pada minit ke-73 dalam perlawanan menentang Oman selepas terlepas dua aksi kelayakan kerana mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada bulan Oktober 2024.

Noor bersyukur dapat kembali bersama pasukan bagi Kelayakan Piala Dunia pusingan ketiga, “Separuh daripada sesi pemulihan ACL saya jalani di Jordan. Setiap hari saya menerima kata-kata semangat daripada para penyokong apabila mereka terjumpa saya. Doa dan kata-kata mereka telah memberi saya kekuatan untuk kembali bersama pasukan sebelum pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia bermula,”

Bertanyakan tentang perasaan beliau dapat membawa nama Jordan di Piala Dunia selepas lima tahun berjuang untuk negara, “Ini lebih daripada kemenangan untuk kami, ini adalah sejarah yang tercipta untuk negara dan para penyokong. Mereka percayakan kami untuk mengangkat bendera Jordan di mata dunia. Kami (Jordan FA) berjuang bersama untuk merealisasikan impian seluruh rakyat Jordan. Saya amat berterima kasih kepada semua yang percayakan kami, terutamanya para penyokong, ahli keluarga, tunang saya, dan Selangor FC, keluarga kedua yang sentiasa menyokong perjuangan saya. Kelayakan ini adalah untuk anda semua.”

Selain itu, Mohammad Abualnadi, pemain import pertahanan Gergasi Merah, merupakan antara tonggak pertahanan baharu Jordan yang berjaya beraksi 90 minit untuk lima perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026. 

Abualnadi bersyukur dapat berjuang bersama pemain-pemain senior membantu Jordan mendapatkan slot Piala Dunia buat kali pertama, “Layak ke Piala Dunia dan menjadi sebahagian daripada pasukan Jordan pertama yang melakukannya adalah sesuatu yang sangat istimewa. Saya yakin semua pemain impikan untuk beraksi di pentas Piala Dunia. Ini bagaikan sebuah mimpi. Selain itu, dapat mencipta sejarah bersama rakan sepasukan yang sangat hebat adalah sesuatu yang benar-benar luar biasa. Saya amat bersyukur dan berterima kasih atas sokongan semua.”

Selangor FC mengucapkan tahniah kepada Noor Al-Rawabdeh, Mohammad Abualnadi serta seluruh pasukan Jordan yang telah berjuang bagi memastikan Jordan layak ke Piala Dunia 2026.