The Red Giants

EN
MY
SELANGOR FC
BERITA

Picha Autra #IsRed

Jun 22, 2025 - FAS

Picha Autra hari ini secara rasmi diumumkan sebagai pemain import terbaru Merah Kuning bagi mengharungi saingan Liga Malaysia serta perlawanan antarabangsa; ACLTWO dan Kejohanan Kelab ASEAN musim 2025/26.

Menapak kariernya di Liga Thailand, semasa berusia 18 tahun, beliau berjaya membuat penampilan sulung seniornya bersama Nakhon Nayok dengan beraksi dalam 19 perlawanan. Beliau terus mencipta namanya bersama Samut Prakan City F.C. yang sebelum ini dikenali sebagai Pattaya United F.C. selepas berjaya membuat 114 penampilan serta menjaringkan 19 gol serta 13 ‘assist’ di Thailand divisyen 1 bagi musim 2015 sehingga 2020. Statistik beliau bersama Samut Prakan City F.C. membantu Picha mendapat panggilan senior Thailand pertamanya pada tahun 2019. 

Tahun seterusnya, pemain akademi Muangthong United ini kembali menabur bakti selama empat musim. Beliau bukan sahaja pemain tonggak pasukan tetapi menggalas tanggungjawab sebagai Kapten yang dihormati dikalangan pemain Muangthong United F.C. Sepanjang bersama kelab tersebut, beliau berjaya membuat 159 penampilan dan dua daripadanya merupakan perlawanan pusingan Kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACLTWO) 2024/25 menentang Selangor FC.
Selain rekod peribadi bersama kelab yang sangat baik, Picha juga merupakan pemilik medal emas Kejohanan AFF 2020 bersama skuad senior Thailand dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 bersama pasukan bawah 23 tahun Thailand.


Picha melihat beraksi di Malaysia bersama Selangor FC sebagai medan untuk beliau menimba pengalaman antarabangsa, “Saya memilih untuk bersama Selangor FC kerana ini akan menjadi satu cabaran peribadi dan peluang yang sangat berharga bagi saya. Selain itu, memberi saya peluang untuk menimba pengalaman antarabangsa dan keluar dari zon selesa. Dalam masa yang sama, bagi saya kelab ini sangat profesional dan bertaraf tinggi, saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah."


Menggunakan pengalaman yang beliau miliki untuk berikan yang terbaik untuk pasukan, "Saya ingin cepat sesuaikan diri bersama pasukan dan memahami budaya di sini, serta membina hubungan yang baik bersama barisan jurulatih, pegawai dan rakan sepasukan. Saya berhadap dengan pengalaman dalam menghadapi tekanan serta membimbing raman sepasukan  membantu saya untuk bersedia menghadapi cabaran di sini dengan baik."


Picha juga sempat tinggalkan pesanan buat penyokong, “Saya dengan rendah diri berharap para penyokong Gergasi Merah akan berikan sokongan penuh anda dalam perjalanan baharu pertama kali saya di Selangor FC, kelab luar negara pertama saya sertai yang pastinya akan penuh dengan cabaran."

Ketua Jurulatih Selangor FC, Katsuhito Kinoshi gembira dapat menandatangani Picha kerana sifat profesional yang dimilikinya, “Dengan sikap profesional dan gaya permainan yang dinamik di bahagian tengah yang dipertontonkan selama ini, beliau mencerminkan semangat tidak mudah mengalah yang Selangor FC sering tekankan. Saya berharap dengan adanya Picha, kita akan terus bersama-sama, sebagai sebuah pasukan untuk berikan yang terbaik demi mengejar sasaran pasukan.”


Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Picha Autra. Semoga beliau dapat menambah kekuatan bahagian tengah Gergasi Merah untuk Liga Malaysia serta perlawanan antarabangsa; ACLTWO dan Kejohanan Kelab ASEAN musim 2025/26. #PichaIsRed


Teruskan ikuti media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2025/26. 


Demi Kebanggaan!