Jul 03, 2025 - FAS
Selangor FC hari ini secara rasmi mengumumkan Willian Lira merupakan pemain import baharu keempat Gergasi Merah bagi mengharungi persaingan Liga Malaysia, serta kejohanan antarabangsa AFC Champions League Two (ACL TWO) dan Kejohanan Kelab ASEAN bagi musim 2025/26.
Dilahirkan pada 9 Disember 1993 di Fortaleza, Brazil, Lira memulakan kerjayanya di negara asalnya, di mana beliau mewakili beberapa kelab di Campeonato Brasileiro Série B dan Série C, termasuk Icasa, Ferroviário, Portuguesa, dan São Bernardo FC. Prestasinya dalam liga domestik Brazil yang kompetitif menjadi jalan kepada beliau untuk berpindah ke luar negara.
Impak besar pertama Lira di Asia adalah di Jepun bersama Ventforet Kofu, di mana beliau beraksi untuk dua musim (2021–2022), mencatatkan 18 gol dalam 70 penampilan Liga J2. Beliau memainkan peranan penting dalam kemenangan bersejarah Emperor’s Cup 2022 kelab tersebut, yang juga merupakan kemenangan terbesar pertama Ventforet, menunjukkan keupayaan dan komitmen beliau untuk beraksi dalam perlawanan-perlawanan besar.
Beliau kemudian meneruskan kerjayanya di Asia Tenggara bersama Kedah Darul Aman FC pada awal 2023, biarpun untuk separuh musim, namun beliau memberikan impak dalam Liga Super Malaysia dengan menjaringkan 8 gol dalam 14 penampilan.
Selepas Malaysia, Lira menyertai Chonburi FC di Thailand untuk musim 2023/24, di mana beliau terus mencipta nama dengan prestasi prolifiknya, menjaringkan 15 gol dalam 30 perlawanan Liga 1 Thai. Tahun seterusnya, beilau bersama sebuah kelab di Emiriah Arab Bersatu iaitu Hatta Club, menambah 13 gol dan 5 bantuan dalam 23 penampilan pada musim 2024/25.
Lira meluahkan keterujaannya untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah, “Saya memilih Selangor FC kerana ini sebuah kelab yang kuat dan antara yang dihormati ramai. Selain itu, saya merasakan tiada masalah untuk saya menyesuaikan diri dengan cepat kerana saya pernah bermain dalam Liga Malaysia sebelum ini. Saya sudah biasa dengan gaya permainan liga, peraturan, dan saya juga mengenali beberapa pemain di sini, akan membantu proses untuk saya menyesuaikan diri dengan cepat.”
Beliau turut berkongsi sasaran peribadi untuk musim pertamanya bersama kelab, “Matlamat saya adalah untuk membantu pasukan bersaing merebut kejuaraan dan, sudah tentu, untuk menjaringkan gol sebanyak yang mungkin. Saya pernah melakukannya bersama kelab lain sebelum ini, tetapi kali ini saya mahu melakukannya untuk Selangor. Setiap hari saya akan memberikan yang terbaik untuk menyumbang kepada pasukan, sama ada di dalam atau di luar padang.”
Selangor FC mengalu-alukan kedatang Willian Lira ke dalam kem Merah Kuning dan berharap beliau dapat memainkan peranan penting dalam barisan serangan pasukan dalam saingan domestik dan antarabangsa musim 2025/26 ini. #LiraIsRed
Jangan lepaskan sebarang kemaskini daripada Selangor FC, ikuti kami di media sosial untuk berita terkini dan intipati persiapan skuad menjelang musim 2025/26.
Demi Kebanggaan!