Jan 31, 2026 - FASSelangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain penyerang dari Brazil, Vítor Pernambuco, yang menyertai pasukan bagi memperkuatkan skuad dalam mengharungi baki saingan musim ini.
Dilahirkan pada 28 April 1998 di Igarassu, Brazil, Pernambuco (nama penuh José Vítor Rodrigues da Silva dos Santos) merupakan pemain menyerang versatil yang beraksi di posisi sayap, namun turut berupaya bermain di beberapa posisi di barisan hadapan. Berketinggian 1.87 meter, pemain berusia 27 tahun ini memiliki kepantasan, kekuatan fizikal serta membawa gaya permainan menyerang yang dinamik buat Selangor FC.
Pernambuco memulakan perjalanan profesionalnya di Brazil selepas menimba pengalaman dalam sistem pembangunan pemain di Portuguesa. Prestasi memberangsangkan telah membuka peluang buat beliau beraksi di Eropah, di mana beliau pernah mewakili FC Lviv di Ukraine sebelum dipinjamkan ke FC Dinamo Tbilisi (Georgia) dan FK Bodø/Glimt (Norway). Pengalaman ini memberikan pendedahan berharga terhadap pelbagai budaya bola sepak dan keperluan taktikal yang berbeza. Beliau kemudiannya menyarung jersi FC Sheriff Tiraspol di Moldova, sebelum meneruskan karier di Kazakhstan dan Hungary. Kemudian, Pernambuco kembali ke Brazil dengan beraksi bersama kelab seperti Juventude dan Operário Ferroviário di Liga Serie B Brazil.
Dikenali dengan naluri menyerang, keberanian mencabar pertahanan lawan serta keupayaannya menyumbang jaringan dan bantuan gol, kehadiran Pernambuco mencerminkan komitmen Selangor FC untuk menambah tenaga, pengalaman dan kepelbagaian di bahagian serangan pasukan.
Mengulas mengenai perpindahannya, Pernambuco menyatakan keterujaan dan motivasinya untuk menyertai Selangor FC. “Saya sangat gembira dan bermotivasi untuk berada di sini serta menjadi sebahagian daripada kelab ini. Selangor FC adalah antara salah satu kelab utama di Malaysia dan saya tidak sabar untuk beraksi di atas padang di hadapan para penyokong,” katanya.
Apabila ditanya mengenai sasaran peribadinya bersama Red Giants, pemain Brazil itu menegaskan komitmennya untuk membantu pasukan. “Sasaran saya adalah untuk menjaringkan gol buat kelab dan beraksi sebanyak mungkin serta mendapatkan minit permainan bagi membantu pasukan mencapai objektif,” tambahnya.
Pernambuco turut menyampaikan mesej khas kepada para penyokong Selangor FC. “Terima kasih atas sambutan yang diberikan. Saya tidak sabar untuk bertemu semua penyokong di stadium dalam masa terdekat,” katanya.
Selangor FC mengalu-alukan kehadiran Vítor Pernambuco ke dalam keluarga Gergasi Merah dan berharap beliau dapat memberikan impak positif kepada pasukan untuk baki saingan musim ini. Vitor Pernambucho #isRed!
Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim 2025/26.
Demi Kebanggaan!