The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

KENYATAAN MEDIA KERJASAMA ESI (ESPORTS INTEGRATED) & SELANGOR RED GIANTS ESPORTS (SRG)

Feb 09, 2026 - FAS

SELANGOR, 9 Februari 2026 – Selangor Red Giants Esports (SRG) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak ESI (Esports Integrated) atas kerjasama strategik yang dijalinkan menerusi Malaysia Esports Accelerator Program (MEAP), yang telah memainkan peranan penting dalam menyokong perjalanan SRG di pentas antarabangsa, khususnya dalam penyertaan M7 World Championship.

Kerjasama ini telah memberikan sokongan menyeluruh kepada SRG, merangkumi aspek perancangan, pengurusan, serta pemudah cara logistik dan operasi, sekali gus membolehkan pasukan memberi fokus sepenuhnya kepada prestasi dan persiapan kompetitif di peringkat dunia. Inisiatif di bawah MEAP ini jelas membuktikan komitmen ESI dalam memperkasa ekosistem e-sukan Malaysia dan membuka laluan yang lebih tersusun untuk pasukan tempatan menembusi arena global.

Coach Arcadia, selaku Ketua Jurulatih Selangor Red Giants menzahirkan penghargaan atas sokongan ini. "Kerjasama dengan ESI melalui program MEAP ini memberikan kami ruang kondusif untuk fokus sepenuhnya kepada aspek teknikal permainan. Sokongan daripada pihak kerajaan Malaysia melalui ESI adalah pemangkin semangat kesukanan buat para pemain kami."

SRG percaya bahawa kolaborasi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pasukan, malah menjadi penanda aras kepada pembangunan bakat, profesionalisme dan daya saing industri e-sukan tempatan. Ia turut mencerminkan kesungguhan semua pihak dalam membina reputasi Malaysia sebagai hab e-sukan yang progresif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Selangor Red Giants Esports berharap kerjasama erat bersama ESI ini dapat diteruskan pada masa akan datang, serta menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif pembangunan e-sukan yang mampan, inklusif dan berimpak tinggi untuk komuniti e-sukan Malaysia.