May 08, 2026 - FASLaundryBar, salah satu jenama dobi layan diri terkemuka di negara ini, dengan sukacitanya mengumumkan jalinan kerjasama strategik bersama Selangor FC, sekali gus menandakan kolaborasi antara jenama gaya hidup yang pesat berkembang dan salah satu kelab bola sepak paling berprestij di Malaysia. Ditubuhkan pada tahun 2013, LaundryBar telah berkembang menjadi jenama yang diyakini dalam industri dobi layan diri, dengan lebih 850 cawangan di seluruh Asia Tenggara. Jenama ini dikenali melalui persekitaran dobi yang bersih, selesa dan moden, di samping penekanan berterusan terhadap kemudahan pelanggan serta penglibatan komuniti.
Memperkukuh Komuniti Melalui Sukan
Menerusi kerjasama ini, LaundryBar Malaysia akan menyokong Selangor FC melalui penajaan jenama, pelaksanaan aktiviti penglibatan penyokong, kehadiran semasa hari perlawanan, serta kempen kolaboratif yang bertujuan merapatkan hubungan antara peminat dan sukan bola sepak.Kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan LaundryBar dalam memperkukuh pembangunan komuniti dan memperluas impak penglibatan tempatan. Melalui jalinan ini, LaundryBar berhasrat untuk menyokong pembangunan bola sepak negara serta mewujudkan pengalaman yang bermakna kepada para penyokong.
Selangor FC Mengalu-alukan Kerjasama Strategik
Selangor FC menyambut baik kerjasama ini yang mencerminkan keserasian nilai antara kedua-dua pihak. Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Johan Kamal Hamidon, berkata pihak kelab berbesar hati mengalu-alukan LaundryBar Malaysia sebagai rakan strategik. “Kerjasama ini selari dengan aspirasi kami untuk memperkukuh hubungan bersama penyokong serta mempertingkatkan pengalaman hari perlawanan. Kami komited untuk melaksanakan inisiatif yang memberi nilai tambah kepada penyokong serta menyokong pembangunan bola sepak negara.”
Memacu Nilai Jenama Melangkaui Perkhidmatan Dobi
Kerjasama ini mengukuhkan peranan LaundryBar sebagai sebuah jenama yang melangkaui fungsi penyedia perkhidmatan. Bola sepak, sebagai sukan yang menyatukan rakyat Malaysia,menyediakan platform yang signifikan untuk memperluas jangkauan jenama kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Selain itu, kolaborasi ini membuka ruang kepada pelaksanaan kempen kreatif serta inisiatif akar umbi yang menggabungkan elemen sukan, gaya hidup dan kemudahan harian. Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan LaundryBar Malaysia, Encik Paul Ang berkata: “Kami melihat keserasian yang kukuh antara LaundryBar dan Selangor FC dari segi nilai komuniti, semangat dan konsistensi. Selangor FC mempunyai sejarah yang gemilang serta penyokong yang setia dan kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini sambil menyumbang kepada pembangunan ekosistem bola sepak tempatan.”
“Kerjasama ini merupakan satu langkah strategik dalam usaha kami untuk memperluas peranan jenama melangkaui perniagaan teras. Ini membolehkan kami berinteraksi dengan masyarakat secara lebih dekat serta mewujudkan pengalaman yang bermakna, sama ada di dalam mahupun di luar padang,” tambah beliau.