May 08, 2026 - FASPenyerang kelahiran Brazil, Chrigor Moraes terus menyerlah bersama Selangor FC dengan menjaringkan gol ke-40 musim ini ketika perlawanan pertama separuh akhir ACC Shopee Cup 2025-26 menentang Nam Dinh FC, baru-baru ini.
Gol itu bukan sahaja memecahkan rekod lama bintang Indonesia, Bambang Pamungkas sebanyak 39 gol yang bertahan 19 tahun, malah juga menjadikan Chrigor antara penjaring terbanyak dalam sejarah Selangor FC.
Dengan mencatatkan 45 penampilan sepanjang musim ini, Chrigor telah menjaringkan 23 gol dalam Liga Super, 5 dalam Piala FA, 5 dalam Piala Malaysia, 4 dalam ACL Two, dan 3 dalam ACC Shopee Cup, sekaligus merekodkan purata jaringan sebanyak 0.89 gol bagi setiap perlawanan.
Prestasi cemerlang ini meletakkan beliau selaku pendahulu penjaring terbanyak Liga Super, 2 gol mengatasi pencabar terdekat. Sesuai dengan nama timangannya “Chrigoal”, nyata mencerminkan keupayaan luar biasa menjaringkan gol secara konsisten.
Chrigor tidak menafikan peranan rakan sepasukan dan penyokong dalam pencapaiannya, “Saya sangat gembira dapat menjaringkan gol dan membantu pasukan. Sokongan daripada rakan sepasukan dan penyokong banyak membantu saya fokus dan beraksi dengan baik. Sejak tiba di Selangor, saya rasa seperti di rumah sendiri dan itu banyak membantu prestasi saya,” katanya.
Ketua jurulatih Kim Pan-gon turut memuji sumbangan Chrigor yang bukan sekadar menjaringkan gol. “Chrigor bekerja keras, bukan sahaja menjaringkan gol tetapi juga dalam pertahanan. Beliau seorang pemimpin, tidak mementingkan diri sendiri, sentiasa mengambil berat tentang rakan sepasukan dan setiasa menjaga keharmonian serta moral tinggi dalam pasukan,” kata beliau.
Minggu hadapan, Selangor FC sekali lagi akan berdepan Nam Dinh FC untuk perlawanan Separuh Akhir kedua di Stadium Thien Truong, Vietnam, pada hari Rabu, 13 Mei, jam 6:30 petang waktu Malaysia.
Dengan hanya berbaki beberapa perlawanan sahaja lagi, Chrigor bertekad untuk terus memecahkan rekod dan mensasarkan pencapaian lebih tinggi sehingga akhir musim, menunjukkan semangat dan ambisinya untuk membawa Selangor FC ke tahap lebih tinggi.
Demi Kebanggaan!