Jun 18, 2026 - FASSHAH ALAM, MALAYSIA – 10 JUN 2026 – Selangor Red Giants Esports (SRG) melalui kerjasama strategik bersama Yayasan Menteri Besar Selangor ((MBI), dengan bangganya mengumumkan pelancaran rasmi program SRG Esports School 2026. Inisiatif ini menandakan lembaran baharu bagi landskap e-sukan di Selangor demi melahirkan atlet e-sukan pada masa hadapan.
Program ini bertujuan untuk menginstitusikan e-sukan dalam ekosistem sekolah di Selangor, sekali gus mewujudkan persekitaran yang selamat, berstruktur dan mampan bagi mencungkil bakat di peringkat akar umbi. Siri kejohanan ini dijalankan bagi mengenal pasti dan menggilap bakat-bakat baharu agar e-sukan diiktiraf sebagai platform yang sah untuk pembangunan modal insan golongan belia.
Disokong penuh oleh rakan strategik termasuk Moonton, Esports Integrated (ESI), ZTE | Nubia, WTM Media, Playaz, dan Maqna Momento, SRG Esports School 2026 melangkaui skop latihan sukan tradisional. Ia direka khusus untuk mengubah persepsi masyarakat dengan menerapkan e-sukan ke dalam kerangka pendidikan, di samping memberi tumpuan kepada pemupukan kemahiran insaniah yang penting seperti kerja berpasukan, disiplin dan celik teknologi bagi menyediakan pelajar mendepani arus ekonomi digital yang berkembang pesat.
Encik Ahmad Azri Zainal Nor, Ketua Yayasan MBI Selangor, berkata:
"Bagi Yayasan MBI, e-sukan merupakan sebuah industri dengan ekosistem yang amat luas. Penyertaan kami dalam inisiatif ini adalah manifestasi kami terhadap pembangunan modal insan anak muda Selangor. Kami ingin melihat anak muda kita bukan sahaja cemerlang dalam dunia digital, malah mempunyai nilai kepimpinan, etika dan daya saing yang tinggi. SRG Esports telah membuktikan bahawa e-sukan bukan sekadar permainan video semata-mata; mereka telah membuka jalan kepada kerajaan negeri untuk melihat potensi besar industri ini dalam pembangunan sukan, ekonomi serta pembentukan psikososial golongan belia."
Dr. Johan Kamal Hamidon, Ketua Pegawai Eksekutif Red Giants FC Sdn. Bhd., berkata:
"Apa yang kami bangunkan hari ini bukanlah satu kerjasama yang biasa. Bagi kami, langkah ini mencerminkan penyatuan organisasi yang berkongsi satu kepercayaan mendalam—iaitu industri e-sukan dan digital hari ini bukan lagi sekadar permainan video.
Masa depan e-sukan mesti dibina di atas landasan pendidikan, komuniti dan kelestarian. Kami mahu mengubah cara bakat anak muda dicungkil dan dikembangkan di Malaysia. Inisiatif SRG Esports School 2026 ini bukanlah projek jangka pendek; ia merupakan asas kepada perjalanan strategik jangka panjang untuk membentuk pemain yang berwibawa, berdisiplin dan mempunyai kepimpinan yang diperlukan di luar arena kejohanan."
Program SRG Esports School 2026 akan mula dilaksanakan bermula hari ini, dengan menyasarkan beberapa sekolah di Selangor bagi merapatkan jurang antara sektor pendidikan, teknologi dan e-sukan profesional.