Jun 30, 2026 - FASSelangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain tengah berpengalaman, Azam Azih, sebagai pemain baharu tempatan kedua Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Pemain berusia 31 tahun itu menyertai Selangor FC selepas menimba pengalaman luas dalam kancah bola sepak tempatan bersama Sri Pahang FC sejak dari tahun 2015. Dikenali sebagai antara pemain tengah paling berkualiti di negara ini, Azam membawa bersama pengalaman, ketenangan serta kebijaksanaan membaca permainan yang dijangka menjadi aset penting buat skuad kendalian Kim Pan-gon.
Memiliki sentuhan teknikal yang tinggi, kemampuan mengawal tempo permainan serta kebolehan melakukan hantaran yang tepat, Azam turut dikenali sebagai pemain yang mampu memberi keseimbangan di bahagian tengah sama ada ketika menyerang mahupun bertahan. Kehadirannya diyakini mampu memperkukuhkan jentera tengah Selangor FC menjelang musim baharu.
Mengulas mengenai kehadiran pemain itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, menyifatkan Azam sebagai antara pemain tengah teknikal terbaik yang Malaysia pernah miliki.
"Bagi saya, Azam merupakan antara pemain paling berteknikal dalam bola sepak Malaysia. Beliau mempunyai pemahaman permainan yang sangat baik, bijak mengawal tempo, memiliki kualiti hantaran yang tinggi serta mampu menghubungkan setiap fasa permainan dengan begitu efektif. Selain mampu membantu pasukan ketika menyerang, beliau juga sangat berdisiplin ketika bertahan. Kami memerlukan pemain berpengalaman seperti Azam kerana beliau mampu membawa kestabilan kepada pasukan. Selaras dengan falsafah kami yang mahu menguasai setiap perlawanan, saya percaya Azam akan memainkan peranan penting dalam membantu kami mendominasi bahagian tengah."
Sepanjang kariernya, Azam telah membuktikan kualitinya sebagai antara pemain tengah paling konsisten di Liga Malaysia serta pernah mewakili skuad kebangsaan Malaysia di pentas antarabangsa dengan mengumpul 24 penampilan untuk Harimau Malaya.
Mengulas mengenai perpindahannya ke Shah Alam, Azam menyifatkan peluang menyarung jersi Merah Kuning sebagai satu penghormatan besar dalam kariernya.
"Selangor merupakan sebuah kelab yang besar dan mempunyai sejarah yang cukup hebat dalam bola sepak Malaysia. Kita dapat melihat bagaimana usaha yang dilakukan oleh pihak pengurusan untuk terus memajukan kelab dari tahun ke tahun. Saya sangat bangga kerana diberi peluang menjadi sebahagian daripada keluarga Selangor FC dan saya tidak sabar untuk membantu pasukan mencapai tahap yang lebih tinggi serta memberikan yang terbaik buat penyokong."
Kehadiran Azam dijangka menambah pengalaman, ketenangan dan kualiti di bahagian tengah Selangor FC dalam usaha memperkukuhkan pasukan bagi menghadapi cabaran di pentas domestik dan Asia.
Selamat datang ke keluarga Gergasi Merah, Azam Azih.
Demi Kebanggaan!