The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Adib Ra'op Sah Sertai Selangor FC #AdibIsRed

Jul 01, 2026 - FAS

Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain pertahanan kebangsaan, Muhammad Adib Abdul Ra'op, sebagai pemain baharu tempatan ketiga bagi menghadapi musim 2026/27 yang akan datang.

Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Gergasi Merah selepas mempamerkan prestasi yang konsisten dalam saingan Liga Super bersama Penang FC. Pemain pembangunan akar umbi berasal dari Perak ini memulakan karier profesionalnya bersama skuad The Bos Gaurus sebelum berhijrah ke Pulau Pinang pada tahun 2022 dan berkembang menjadi antara pemain pertahanan kiri terbaik dalam Liga Malaysia.

Dikenali dengan kepantasan, kekuatan fizikal, disiplin bertahan serta kemampuannya membantu serangan dari bahagian sayap, Adib membawa bersama pengalaman luas di pentas tertinggi bola sepak tempatan. Fleksibilitinya untuk beraksi dalam beberapa posisi di bahagian kiri turut memberikan lebih banyak pilihan taktikal kepada Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon, menjelang musim baharu.

Mengulas mengenai kehadiran pemain itu, Kim Pan-gon menyifatkan Adib sebagai pemain yang memiliki ciri-ciri yang sangat sesuai dengan identiti permainan Selangor FC.

"Adib merupakan seorang pemain yang memiliki kekuatan fizikal, kepantasan, mentaliti menyerang serta karakter permainan yang cukup agresif. Profil beliau amat bertepatan dengan identiti dan falsafah bola sepak yang ingin kami terapkan di Selangor FC. Kami percaya tenaga, intensiti dan kualiti bertahannya akan memberikan dimensi baharu kepada pasukan, dan saya yakin beliau mampu memberi impak yang besar sepanjang musim ini."

Prestasi cemerlang yang dipamerkan di peringkat kelab turut membuka pintu buat Adib menyarung jersi Harimau Malaya apabila beliau menerima panggilan skuad kebangsaan. Sejak itu, beliau terus membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa dan menjadi antara pemain yang semakin mendapat perhatian dalam bola sepak Malaysia.

Mengulas mengenai perpindahan ini, Adib meluahkan rasa teruja untuk memulakan lembaran baharu bersama Selangor FC.

"Saya amat berbesar hati untuk menyertai Selangor FC, sebuah kelab yang mempunyai sejarah yang cukup besar dalam bola sepak Malaysia. Saya tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong Gergasi Merah dan akan memberikan sepenuh komitmen bagi membantu pasukan mencapai sasaran yang telah ditetapkan."

Kehadiran Adib diyakini mampu memperkukuhkan lagi barisan pertahanan Selangor FC dalam usaha kelab untuk terus bersaing merebut kejuaraan serta mengharungi cabaran musim baharu dengan lebih kompetitif.

Selamat datang ke keluarga Gergasi Merah, Adib Ra'op. 

Demi Kebanggaan!