The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Kehadiran Jefferson Tabinas Perkuat Benteng Pertahanan Selangor FC

Jul 01, 2026 - FAS

Selangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain pertahanan antarabangsa Filipina, Jefferson Tabinas, sebagai pemain import pertama dan pemain baharu keempat Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Pemain berusia 26 tahun itu terbang ke Shah Alam dengan reputasi yang cukup cemerlang di pentas Asia. Dilahirkan di Tokyo dan membesar dalam sistem pembangunan bola sepak Jepun, Tabinas memulakan karier profesional bersama Kawasaki Frontale, dengan berjaya membantu pasukan muncul juara liga pada tahun 2017 & 2018, sebelum mencipta nama bersama beberapa kelab gergasi Jepun lain seperti Gamba Osaka dan Mito Hollyhock dalam saingan J.League.

Beliau kemudian berhijrah ke Thailand untuk menyertai Buriram United, antara kelab paling berjaya di rantau Asia Tenggara. Bersama Buriram, Tabinas beraksi dalam saingan domestik dan Asia serta membantu kelab itu menjulang dua kejuaraan Thai League 1, juara Thai Cup, Thai League Cup dan Asean Club Championship pada musim 2024/25 sebelum meneruskan kariernya bersama Chonburi FC, sekali gus menambah lagi pengalaman beliau dalam salah satu liga paling kompetitif di rantau ini.

Selain beraksi di posisi pertahanan kiri, Tabinas juga mampu menggalas tanggungjawab sebagai pertahanan tengah dan bek sayap. Kepelbagaian posisi, disiplin taktikal serta kemampuannya menguasai bola menjadikan beliau seorang pemain moden yang sesuai dengan corak permainan Selangor FC. Di pentas antarabangsa pula, Tabinas merupakan tonggak skuad kebangsaan Filipina dan telah mengumpul pengalaman beraksi dalam Kelayakan Piala Dunia FIFA, Piala Asia AFC serta Kejohanan ASEAN.

Mengulas mengenai kehadiran pemain itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, percaya pengalaman Tabinas di Jepun dan Thailand akan memberikan nilai tambah yang besar kepada pasukan.

"Jefferson telah membuktikan kualitinya di dua liga yang sangat kompetitif iaitu Jepun dan Thailand. Beliau memahami apa yang diperlukan untuk bersaing di tahap tinggi serta memiliki mentaliti seorang pemain yang sentiasa mahu menang. Apa yang saya sukai ialah kebolehannya membuat keputusan ketika menguasai bola, disiplin taktikal dan keupayaannya bermain dalam beberapa posisi. Pengalaman seperti ini amat penting untuk kami kerana kami mahu membina sebuah pasukan yang mampu mengawal permainan, bertahan dengan baik dan bermain secara progresif. Saya percaya Jefferson akan menjadi salah seorang pemain penting dalam skuad kami."

Mengulas mengenai perpindahannya ke Selangor FC, Tabinas mengakui beliau tertarik dengan hala tuju dan cita-cita besar yang dimiliki oleh kelab.

"Sebelum membuat keputusan untuk datang ke sini, saya mengambil masa untuk memahami budaya kelab, penyokong dan visi Selangor FC. Apa yang saya lihat sangat mengagumkan. Kelab ini mempunyai sejarah yang hebat, penyokong yang luar biasa dan cita-cita yang jelas untuk terus berkembang. Itu antara sebab utama saya memilih Selangor."

Beliau turut berharap pengalaman beraksi di Jepun dan Thailand dapat dimanfaatkan untuk membantu Gergasi Merah mencapai sasaran musim ini.

"Saya datang ke sini bukan sekadar membawa pengalaman, tetapi juga dengan keinginan untuk terus berkembang sebagai pemain. Saya mahu berkongsi apa yang telah saya pelajari sepanjang karier saya, membantu rakan sepasukan dan memberikan segala-galanya setiap kali menyarung jersi Selangor. Saya tidak sabar untuk beraksi di hadapan penyokong Merah Kuning dan bersama-sama mencipta sesuatu yang istimewa musim ini."

Kehadiran Jefferson Tabinas dijangka menambah pengalaman antarabangsa, kestabilan serta kepimpinan di benteng pertahanan Selangor FC dalam usaha kelab untuk terus bersaing merebut kejuaraan di pentas domestik dan Asia.

Selamat datang ke keluarga Gergasi Merah, Jefferson Tabinas.

Demi Kebanggaan!