Jul 01, 2026 - FASSelangor FC dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran pemain tengah menyerang berasal dari Venezuela, Eduardo Sosa, sebagai pemain import kedua dan pemain baharu kelima Gergasi Merah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Pemain berusia 30 tahun itu tiba di Shah Alam selepas mempamerkan prestasi cemerlang bersama Imigresen FC dalam kancah saingan Liga Super Malaysia musim lalu. Sepanjang musim 2025/26, Sosa muncul antara pemain paling menyerlah di liga selepas berjaya merekodkan 11 gol dan 4 bantuan jaringan dalam semua pertandingan, sekali gus membuktikan kemampuannya sebagai pemain yang mampu mengubah keputusan perlawanan menerusi kreativiti serta kualiti di kawasan berbahaya.
Sebelum beraksi di Malaysia, Sosa mengharungi karier profesional yang luas di beberapa negara termasuk Venezuela, Amerika Syarikat dan Colombia. Pengalaman beraksi di pelbagai liga dengan budaya bola sepak yang berbeza telah membentuk beliau sebagai pemain yang matang, kreatif dan mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai sistem permainan.
Dikenali dengan visi permainan yang tinggi, sentuhan teknikal yang kemas serta kebolehan menghasilkan peluang dan jaringan, Sosa mampu beraksi sebagai pemain tengah menyerang, pemain sayap mahupun 'second striker'. Kehadirannya dijangka memberi lebih banyak variasi serta kreativiti kepada jentera serangan Selangor FC.
Mengulas mengenai kehadiran pemain itu, Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, percaya Sosa memiliki kriteria yang tepat untuk memperkukuhkan identiti permainan Gergasi Merah.
"Kami sentiasa mencari pemain yang mampu memberi impak di kawasan serangan dan Eduardo mempunyai semua ciri tersebut. Beliau memiliki kreativiti yang tinggi, visi permainan yang sangat baik serta kebolehan membuat hantaran terakhir yang mampu membuka ruang kepada rakan sepasukan. Selain itu, beliau juga mempunyai naluri menjaringkan gol dan tidak takut mengambil tanggungjawab dalam situasi penting. Saya percaya beliau akan memberikan dimensi baharu kepada permainan menyerang kami dan membantu pasukan bermain dengan lebih efektif di kawasan menyerang."
Sosa turut menyatakan bahawa keputusan menyertai Selangor FC dibuat kerana beliau melihat kesungguhan kelab untuk terus berkembang dan bersaing merebut kejuaraan.
"Apabila Selangor menghubungi saya, saya dapat merasakan betapa seriusnya kelab ini terhadap projek yang sedang dibina. Saya melihat sebuah organisasi yang profesional, mempunyai penyokong yang luar biasa dan sentiasa meletakkan sasaran yang tinggi. Sebagai seorang pemain, anda sentiasa mahu menjadi sebahagian daripada pasukan yang mahu bersaing untuk memenangi perlawanan. Itulah sebab utama saya memilih Selangor FC."
Beliau juga berjanji akan memberikan segala-galanya untuk membantu Gergasi Merah mencapai kejayaan musim ini.
"Saya sudah mengenali Liga Malaysia dan memahami cabaran yang bakal dihadapi. Kini saya mahu membawa pengalaman itu ke Selangor FC. Saya berharap dapat membina keserasian dengan rakan sepasukan secepat mungkin, menghiburkan penyokong dengan corak permainan menyerang dan menyumbang menerusi gol serta bantuan jaringan. Saya tidak sabar untuk memulakan musim bersama keluarga Merah Kuning."
Kehadiran Eduardo Sosa diyakini mampu meningkatkan kreativiti, kualiti hantaran serta ketajaman jentera serangan Selangor FC dalam usaha kelab memburu kejuaraan di pentas domestik dan Asia.
Selamat datang ke keluarga Gergasi Merah, Eduardo Sosa.
Demi Kebanggaan!