Jul 08, 2026 - FASMenyemarakkan semula salah satu kerjasama paling ikonik dalam arena bola sepak Malaysia, adidas dan Selangor FC kembali berganding bahu bagi meraikan legasi yang dikongsi bersama dan memberi inspirasi kepada generasi baharu melalui kuasa sukan.
KUALA LUMPUR, 8 JULAI 2026 – adidas hari ini mengumumkan kepulangannya sebagai Rakan Kit Rasmi Selangor FC bagi musim 2026/27, sekali gus menyatukan semula salah satu kerjasama paling ikonik dalam sejarah bola sepak Malaysia.
Penyatuan semula ini memperkukuhkan hubungan yang telah lama terjalin sepanjang sejarah Selangor FC. Kedua-dua jenama ini berkongsi semangat yang sama dalam bola sepak serta komited untuk menginspirasikan generasi masa hadapan. Melalui penyatuan ini, adidas dan Red Giants sekali lagi berganding bahu demi meneruskan legasi yang berteraskan kebanggaan, prestasi, dan hala tuju yang jelas.
Kerjasama terdahulu antara adidas dan Selangor FC telah mencipta pelbagai detik bersejarah, menyaksikan kedua-dua pihak meraih pelbagai kejayaan di dalam dan di luar padang yang terus memperkukuhkan semangat #MentalitiJuara serta menyatukan pemain, penyokong, dan komuniti melalui rasa cinta terhadap sukan bola sepak.
Kerjasama yang diperbaharui ini akan direalisasikan menerusi pelancaran Kit Home dan Away adidas x Selangor FC musim 2026/27 yang bakal diperkenalkan pada 20 Ogos 2026. Direka untuk meraikan legasi kelab yang gemilang sambil terus maju menuju masa depan, pelancaran ini bakal menandakan permulaan baharu buat Selangor FC dan penyokong The Red Giants.
Ikuti @adidasMY di Instagram untuk mendapatkan berita dan pengumuman terkini.