SELANGOR FC
BERITA

RASMI: Nik Sharif Is RED!

Dec 19, 2020 - FAS

Nik Muhammad Sharif Haseefy atau lebih dikenali sebagai Nik Sharif kini secara rasmi diumumkan sebagai pemain terbaharu pasukan Selangor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021.

Pemain tengah ini telah bersama pasukan Pahang sejak tahun 2016 dan telah melakukan debut skuad utama beliau sewaktu perlawanan ke-18 saingan Liga Super 2019.

Sepanjang bersama skuad Tok Gajah, Nik Sharif telah menjaringkan tiga gol dan melakukan dua assist dalam 10 penampilan bagi musim 2019 hingga 2020.

Menurut Karsten Neitzel, ketua jurulatih Selangor, pemain muda ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri untuk membantu pasukan Selangor terutamanya daripada segi kebolehan menganalisis corak permainan.

“Dia (Nik Sharif) memiliki aspek teknikal yang baik serta mempunyai visi yang hebat dalam membaca permainan biarpun usianya yang masih muda. Dia juga boleh bermain sebagai pemain sayap atau membantu bahagian tengah dengan efektif.”

“Saya percaya bahawa Nik Sharif bakal memainkan peranan penting dalam pasukan Selangor musim hadapan. Saya tidak sabar untuk melihatnya beraksi untuk persediaan pra musim,” Karsten memberikan pandangan mengenai Nik Sharif.

Dalam pada itu, Nik Sharif berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan Selangor FC dan melaungkan komitmen beliau untuk membantu pasukan Gergasi Merah.

“Saya berasa sangat teruja serta bersyukur atas rezeki dan peluang yang diberikan untuk bermain dengan salah sebuah pasukan yang penuh sejarah dan pencapaian di Liga Malaysia,” kata Nik Sharif sewaktu ditemubual oleh Media Selangor FC.

“Selangor mempunyai keistimewaan tersendiri termasuklah fasiliti yang serba lengkap, pihak pengurusan yang profesional selain barisan pemain yang cukup berpengalaman.”

“Saya akan berusaha untuk berikan prestasi yang terbaik untuk pasukan demi membalas kepercayaan pihak pengurusan dan membanggakan para penyokong Selangor,” tegas Nik Sharif.

Nik Sharif merupakan pemain terbaru keempat yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Shahrel Fikri, Tim Heubach dan R. Dinesh baru-baru ini.

Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Nik Syarif dan semoga beliau dapat memperkasakan jentera tengah Gergasi Merah untuk saigan Liga Malaysia musim hadapan.

Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim hadapan.

Demi Kebanggaan!