Dec 24, 2021 - FASPasukan Gergasi Merah dengan sukacitanya mengumumkan secara rasmi hari ini bahawa pemain tengah Baha’ Abdelrahman dari Jordan telah bersetuju untuk menyertai Selangor FC, sebagai pemain import kedua baharu kami untuk Liga Super Malaysia tahun 2022.
Dilahirkan di Amman, Jordan, pemain ini telah membuat penampilan debutnya bersama pasukan senior negaranya pada 24 Januari 2008 pada usia 21 tahun dan telah menyumbangkan 6 gol dalam 118 perlawanan antarabangsa.
Ketua jurulatih Selangor FC, Michael Feichtenbeiner yakin pemain tengah berusia 34 tahun itu mampu menjadi pemimpin yang agresif di bahagian tengah padang yang akan membantu mengukuhkan pertahanan kami.
“Berdasarkan musim lalu, saya fikir kami memerlukan seorang pemimpin di bahagian tengah, yang boleh bermain posisi nombor enam, sebagai pemain yang boleh mengatur bahagian tengah kami di pertahanan, dan juga bantu pasukan dalam serangan dengan pengalamannya.
“Saya sangat kagum dengan persembahan Baha’, terutama pada usia 34 tahun. Namun bagi saya, usianya tidak relevan, kerana yang lebih penting, pengalaman luas yang telah diperolehnya, di samping memiliki tahap kecergasan yang masih tinggi. Beliau juga telah bermain dalam semua perlawanan antarabangsa dengan Jordan (dalam Piala Arab FIFA).
Tambah Michael, “Beliau telah mengetuai pasukan Jordan dalam Piala Arab di Qatar dan menjadi kapten pasukan ketika menentang Mesir pada peringkat suku akhir dan juga bermain selama 120 minit, yang jelas menunjukkan bahawa beliau masih cergas.”
Jurulatih dari Jerman itu juga berkata, “Saya sangat gembira dengan kemasukan dua pemain ini (termasuk Yazan) dalam pasukan ini untuk musim hadapan. Mereka sangat gembira untuk menyertai kelab ini dan berhasrat untuk membawa suatu kelainan kepada bola sepak Malaysia.”
Pemain tengah yang berketinggian 178 cm itu, meninggalkan mesej ini kepada penyokong :
"Saya gembira dapat menyertai kelab sebesar Selangor FC. Saya akan datang jauh dari Jordan dan tidak sabar untuk bermain dalam liga Malaysia. Kami akan cuba sedaya upaya untuk meletakkan Selangor kembali mencabar di tangga teratas seperti mana ia sepatutnya"
Selangor FC juga teruja untuk menyambut ketibaan Baha’ Abdelrahman, serta Yazan Al-Arab, yang diumumkan secara rasmi sebagai pemain kami minggu lalu. Selamat datang ke #GergasiMerah Baha’!
Mari berjuang bersama, Baha'!
Demi Kebanggaan !