SELANGOR FC
BERITA

RASMI: Oliver Buff Is RED!

Jan 26, 2021 - FAS

Pemain tengah Switzerland, Oliver Buff hari ini diumumkan secara rasmi sebagai pemain import terbaru Gergasi Merah untuk menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2021.
 
Berasal dari Baden, Switzerland, pemain ini pernah membarisi skuad remaja negara kelahirannya bersama pasukan B-15 sehingga B21 tahun dan beraksi dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk beraksi di temasya Sukan Olimpik 2012 di London. Beliau juga pernah menjulang kejuaraan Piala Dunia B-17 bersama negaranya pada tahun 2009.
 
Mesra dengan panggilan Oli, beliau juga pernah menyarung jersi pasukan remaja FC Zürich di Switzerland dari tahun 2007 dan berjaya melakukan debut untuk pasukan utama kelab gergasi negara tersebut pada pertengahan tahun 2010.
 
Beliau merupakan salah seorang tonggak utama pasukan FC Zürich sewaktu membantu kelab itu menjulang Piala Swiss untuk dua musim berturut-turut pada musim 2013-2014 dan 2015-2016. Menurut data transfermarkt.com, pemain ini telah membuat sebanyak 217 penampilan dan menjaringkan 28 gol serta 31 bantuan gol untuk kelab tersebut.
 
Pada tahun 2017, Oliver telah berhijrah ke Sepanyol untuk bersama pasukan divisyen 2, Real Zaragoza dan melakukan sebanyak 41 penampilan sepanjang dua tahun bersama kelab tersebut.
 
Pemain serba boleh ini terus melebarkan sayapnya dengan menyertai kelab Anorthosis Famagusta yang merupakan pasukan divisyen satu Cyprus sebelum kembali ke Switzerland bersama kelab divisyen 2, Grasshopper Club Zurich untuk semusim.
 
Selangor FC merupakan kelab Asia pertama buat Oliver dan beliau merasakan ini peluang terbaik untuk mengembangkan karier bola sepaknya.
 
"Saya mendapat panggilan telefon dari ejen mengenai projek di Malaysia bersama Selangor FC dan saya juga sempat bercakap bersama ketua jurulatih Selangor FC, Karsten Neitzel dan Pengarah Teknikal Red Giants, Michael Feichtenbeiner mengenai rancangan mereka. Dari minit pertama lagi saya benar-benar yakin bahawa saya ingin menjadi sebahagian dari keluarga Merah Kuning," Oliver bercerita tentang mengapa beliau memilih Selangor FC.
 
"Rancangan Selangor FC untuk kembali melakar kegemilangan membuatkan saya yakin bahawa ini akan menjadi tempat terbaik untuk saya mengembangkan karier bola sepak di negara yang indah ini," jelas Oliver.
 
Sejak usia muda lagi, Oliver Buff telah memikat hati pengendali Selangor FC, Coach Karsten Neitzel dan beliau sentiasa mengikuti perkembangan Oliver dari semasa ke semasa.
 
"Saya belum pernah bekerjasama dengan Oliver. Suatu ketika dahulu, semasa beliau merupakan pemain muda di FC Zürich, Oliver telah menarik minat saya untuk membawanya masuk ke pasukan lama saya di Jerman. Walaupun tidak kesampaian, sejak dari hari itu saya mengikuti perkembangannya sehingga kini," jelas Karsten mengenai kemasukan Oliver Buff ke Selangor FC.

“Oliver adalah seorang pemain yang mempunyai ketenangan, mampu membaca permainan dengan baik dan berkebolehan beraksi dengan baik dalam merencana serangan dan pertahanan pasukan. Dia juga mampu menjadi teladan kepada pemain-pemain muda yang lain. Saya harap dia mampu menunjukkan kualiti yang kita harapkan ini,” tambah Coach Karsten.
 
Sebelum menamatkan temu bual, Oliver sempat menyatakan hasratnya untuk membawa Selangor FC kembali meraih kemenangan. Meskipun ia bukan perkara yang mudah, beliau yakin semua pemain, barisan jurulatih dan pihak pengurusan Red Giants FC kini sedang berusaha untuk matlamat yang sama.
 
Selangor FC mengucapkan selamat datang kepada Oliver Buff dan semoga beliau dapat mengukuhkan barisan tengah dan serangan pasukan Gergasi Merah untuk Liga Malaysia musim ini.
 
Oliver Buff merupakan pemain terbaru kelima yang diperkenalkan untuk membarisi pasukan utama selepas Selangor FC memperkenalkan Shahrel Fikri, Tim Heubach, R. Dinesh dan  Nik Sharif sebelum ini.

Selamat maju jaya, Oli!
 
Teruskan bersama media sosial Selangor FC untuk mendapatkan info-info terkini mengenai persediaan pasukan untuk musim hadapan.
 
Demi Kebanggaan!